Bakal calon jatuh dari atas katil, bermimpi menang pilihan raya

Suhu politik  sudah semakin panas. Rakyat bagai sudah hampir pasti, pilihan raya umum tidak akan diadakan tahun ini. Mereka percaya PRU-14 akan diadakan Mac atau April tahun depan. Setidak-tidaknya itulah cakap pak belalang dan nujum politik.

Namun, ini tidak mengurangkan orang bercakap tentang politik dan pilihan raya.

Kepada mereka yang berminat menjadi calon, sudah mulai turun ke padang dan melobi. Sehingga dikatakan ada kawasan yang sampai sepuluh orang calon berpotensi berminat.

Malah, ada satu kawasan dikatakan sehingga 20 calon.

Memang sesak! Sekarang, tidak seperti 30 atau 40 tahun lalu, sudah banyak yang memiliki kelayakan dari segi akademik. Semua itu susulan kejayaan sistem pendidikan.

Kalau dahulu begitu susah hendak cari mereka yang lulus ijazah pertama di kampung, tetapi sekarang, kalau lontar sebiji batu, pasti akan terkena kepala pemegang ijazah.

Betul-betul gaya, batu itu akan melantun ke arah seorang lagi sisawzah  lulusan dalam dan  luar negeri.

Bukan itu sahaja, kini sudah ramai juga yang mendapat ijazah sarjana dan PhD.

Di Serian berdasarkan laporan media, terdapat empat orang pemegang ijazah PhD yang berpotensi jadi calon. Begitu juga dengan Mukah. Inilah senarionya sekarang.

Hakikatnya,banyak orang berminat jadi calon ,dan fikir mereka memang layak jadi calon.

Yang tak sedap, ada yang cuba menjatuhkan nama baik calon lain dalam usaha menonjolkan diri. Dalam bahasa orang putih, mereka gunakan strategi ‘character assassination”.

Maksudnya, mereka serang peribadi, biasanya dengan mendedahkan kelemahan calon lain, seolah-olah diri serba sempurna dan serba bersih ala malaikat. Walhal diri  bagai ayam berkokok,  ekor bergelumang dengan tahi, juga.

Sebab itu, nasihat setiausaha agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang, betapa pentingnya calon yang menawarkan diri tidak menggunakan pendekatan menyerang peribadi individu lain, atau memperlekeh mereka.

Biarlah tonjolkan kelebihan dan keistimewaan diri, sama seperti jurujual menyatakan kelebihan produk yang dipromosi, tanpa perlu memburukkan produk syarikat lain. Biarlah beretika dan profesional.

“Jika anda melakukannya, anda akan mencipta banyak musuh daripada teman yang mungkin anda perlukan jika akhirnya anda dipilih jadi calon,” kata pemimpin politik berpengalaman di satu majlis di Julau pada Sabtu, seperti dilapor media.

Dengan kata lain, ujar Salang, jangan membakar jambatan.

Memang betul, bukan tidak ada pemimpin politik yang bakar jambatan sebelum ini, untuk kemudiannya menyedari jambatan itu amat diperlukan kemudiannya.

“Rakyat akan menilai anda berdasarkan tindakan dan kata-kata anda. Mereka dapat beritahu, sama ada anda jujur atau ikhlas untuk berkhidmat atau tidak,” katanya.

Beliau juga menasihati calon yang berminat, supaya tidak terlalu ghairah, kerana mereka boleh sahaja tersungkur.

Tidak perlu terlalu ghairah tunjukkan minat. Steady sahaja.

Kelayakan akademik hanya satu daripada kriteria atau angkubah. Banyak lagi kriteria lain, termasuk jujur, komited, prorakyat, bersedia berkhidmat, tidak pilih kasih, berwibawa dan senang didekati.

Jadi, untuk sementara, tidak perlulah sampai tersenyum-senyum dalam tidur, kerana bermimpi sudah menjadi YB.

Nanti, anda akan dapat mimpi ngeri hingga jatuh dari atas katil. – Sarawakvoice

“Pak Belalang, Nujum Politik Sedang Cari Ilham”