Saturday, October 8, 2022

Pemuda Pas: Larang pekerja hotel wanita pakai tudung pegangan primitif

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Larangan memakai tudung termasuk ke atas pekerja muslimah oleh pihak hotel dengan alasan ia polisi antarabangsa adalah pegangan tipikal dan ‘primitif’.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Hishamuddin Abdul Karim berkata,

sewajarnya pihak berkenaan tidak menjadikannya sebagai kongkongan dalam realiti kepelbagaian agama, budaya, adat dan bangsa di dunia.

“Inilah masanya para pengendali hotel Malaysia menunjukkan jalan keluar yang sederhana betapa hak mengamalkan ajaran agama atau kepercayaan tidak harus dibatasi. Kita boleh menjadi contoh dan perintis terhadap perkara ini, sekali gus memberi penghormatan terhadap banyak pihak, terutama kepada kaum wanita dan umat Islam yang kini merupakan penghuni teramai atas muka bumi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sebuah hotel antarabangsa  di Petaling Jaya yang dilaporkan melarang kakitangan wanitanya memakai tudung ketika bertugas sehingga menyebabkan ada daripada mereka terpaksa menanggalkan tudung, dan memakainya selepas waktu bertugas.

Malah, katanya,  pemakaian tudung dilihat tidak memberi sebarang implikasi negatif kepada sektor tersebut, sebaliknya larangan atau polisi yang ada pula tidak punya hujah kukuh untuk diaplikasikan.

“Biarpun dinafikan ia bukan diskriminasi dan Islamofobia, tetapi itulah hakikat sikap dunia berkepentingan hari ini yang tidak boleh diselindungkan. Maka kita bergerak atas kefahaman dan sensitiviti kita sendiri dengan memberikan hak kepada kalangan yang sepatutnya,” katanya lagi.

“Kami menggesa pihak kerajaan terutama kementerian dan jabatan berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk melakukan pembaharuan pelaksanaannya di negara ini. Seterusnya merungkai isu ini ke peringkat antarabangsa sebagai satu perjuangan terhadap hak asasi beragama dan kepada kaum wanita,” tegasnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru