Tuesday, December 6, 2022

Pandelela tuai emas di Gold Coast, Australia

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pandelela Rinong kembali ke puncak prestasi semalam apabila berjaya mencipta emas untuk acara platform individu wanita 10 meter dalam Kejohanan Terjun Grand Prix Fina Australia di Pusat Akuatik Gold Coast, Australia.

Gadis keturunan Bidayuh dari Bau, Sarawak itu melakukan terjunan yang menyakinkan untuk membolehkannya mengumpul 319.40 mata selepas lima pusingan, sekali gus menyebabkan Celine Toth dari Kanada dan Anna Rose Keating dari Australia berputih mata dengan perak dan gangsa.

Kedua-duanya sekadar memperoleh 310.20 mata dan 285.65 mata.

Seorang lagi atlet terjun negara, Kimberly Bong bagaimanapun sekadar berada di tempat terakhir dengan 237.45 mata.

Ia pingat kedua yang dimenangi Pandelela di Gold Coast selepas memenangi perak dalam aksi berpasangan dengan Leong Mun Yee dalam platform synchronise 10 meter wanita dengan 287.10 mata.

Dua pasangan Australia — Melissa Wu / Taneka Kovchenko dan Brittany O’Brien / Anna Rose Keating muncul pemenang emas dan gangsa selepas mengutip 300.24 mata dan 281.34 mata masing-masing.

Satu lagi pingat perak negara dimenangi Jellson Jabillin dan Cheong Jun Hoong yang mengumpul 262.71 mata dalam acara platform synchronise 10 meter serentak.  — Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru