Tuesday, October 4, 2022

Lim Kit Siang: DAP tidak akan mudah menyerah kalah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, parti itu tidak akan mudah mengangkat bendera putih meskipun terpaksa berdepan pelbagai rintangan daripada pelbagai pihak yang mahukan DAP hilang daripada landskap politik.

“Adakah pihak yang membuat perancangan lama selama lima tahun kebelakangan ini untuk melemahkan DAP, dengan kami perlu melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat, seperti yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan dan mereka berasakan tindakan mereka akan berjaya,” kata pemimpin veteran DAP itu dalam satu kenyataan.

Katanya, walau dengan apa perbuatan sekalipun, DAP tidak akan membenarkan dirinya hilang daripada politik Malaysia, dalam usaha untuk membentuk negara yang lebih berdemokrasi, maju dengan amalan pentadbiran yang baik.

Ujarnya, majoriti rakyat muak dengan politik perkauman dimainkan oleh beberapa parti, dalam usaha untuk menguatkan pengaruhnya dalam kalangan penyokongnya.

“Amat mengecewakan apabila terdapat beberapa ahli politik peringkat nasional masih lagi menggunakan cara politik lapuk, dengan memainkan isu perkauman dan agama sebagai bahan politik mereka,” katanya lagi.

“Malaysia sudah berusia 60 tahun dan masanya sudah tiba untuk semua parti politik perlu mengamalkan cara politik secara sederhana dan matang,” tegasnya.

Tambah Kit Siang lagi, sekiranya politik perkauman terus dimainkan, tindakan itu dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan kaum dan menyebabkan keamanan dan keharmonian negara terancam. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru