BN mahu pinda menyeluruh Kanun Tanah S’wak, Baru Bian hanya lihat satu seksyen…

SECARA prinsip, kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak bersetuju sepenuhnya agar Kanun Tanah Sarawak dipinda mengikut kajian menyeluruh ke atas beberapa seksyen.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Paulus Palu Gumbang berkata bantahan 50 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BN terhadap Rang Undang-Undang (RUU) persendirian cadangan Baru  Bian (PKR-Ba’kelalan) di sidang DUN berpunca daripada RUU itu sendiri melanggar Perintah Tetap.

Paulus menyelar tudingan pengkritik di media sosial, bahawa cadangan pindaan oleh Baru  hanyalah bertujuan meminda satu seksyen daripada kanun tanah tersebut iaitu Seksyen 2.

Sebaliknya, Baru dikatakan tidak mengambil kira ke atas seksyen lain Kanun Tanah Sarawak yang juga relevan.

Gambar fail

Paulus semasa persidangan media di luar sidangan DUN membangkitkan bahawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini menyatakan iltizam memperjuangkan isu melibatkan Pemakai Menoa dan Pulau Galau berkenaan.

Bahkan, pelantikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengetuai penubuhan Pasukan Petugas Khas menangani isu tersebut menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan Negeri di bawah kaptennya Abang Johari mempeduli serta memperjuangkan isu tersebut.

Semuanya dilakukan demi kepentingan rakyat Sarawak.

Mungkin banyak komen yang mengatakan sampai bila “bermain dengan isu ini?”

Ada juga menyifatkan, isu ini diangkat untuk kepentingan politik, khususnya bagi menghadapi pilihan raya umum.

Namun, dari satu segi apa pula bezanya dengan “permainan isu seperti ini ditonjolkan oleh wira pembangkang?

DUN ialah tempat sidang wakil rakyat sendiri terdiri daripada ahli politik berhujah dan melontar idea untuk kepentingan rakyat yang mengundi mereka.

Kenapa pula ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang tidak boleh berpolitik? Dan salahkah ahli politik berpolitik yang sememangnya karier asas mereka.

Biarkanlah mereka berpolitik secara aman dan dibenarkan perlembagaan, yang penting semuanya untuk kebaikan dan kepentingan rakyat.

Anda mungkin mempunyai maksud lain berkaitan “kebolehan berpolitik” atau “kelicikan menjadi seorang politikus”.

Berkaitan isu ini, wajar sekali ahli politik pembangkang termasuk rakyat yang tidak berpuas hati​​​​​​​ ​​bersabar serta memberi ruang dan masa secukupnya kepada Pasukan Petugas Khas ini menyelesaikan tugas mereka.

Mereka perlu diberi banyak masa dan ruang terutama menangani seksyen yang relevan untuk dipinda.

Oh ya, mungkin ada yang bakal mencantas sinikal bertanya, “banyak mana lagi masa perlu diberikan?”

Jawapannya, “kenapa pula anda perlu ‘ribut’ pertikaikan soal masa… apa pula yang menggusarkan anda?”

Secara logiknya, menangani perkara berkaitan undang-undang tidak dapat diatasi dalam masa yang singkat atau sembarangan.

Ia harus cermat ditangani seumpama menarik benang dari dalam tepung.

Ada banyak kepentingan perlu diambil kira, dijaga dan dimanfaatkan, biarlah “benang dapat ditarik sempurna tidak putus, sementara tepung tidak berselerak”.

Baru mengemukakan usul supaya pindaan dilakukan terhadap Kanun Tanah Sarawak bagi mengiktiraf Pulau Galau Pemakai Menua  atau rizab hutan bersama.

Usul tersebut bagaimanapun dibantah oleh 50 ADUN BN.

Sementara, 10 ADUN Pakatan Harapan menyokong RUU berkenaan.

Penolakan usul dikira berdasarkan sudut yang sempit dan tidak menyeluruh, justeru ADUN BN didakwa menolak pindaan kanun tanah seperti diperbesarkan di media sosial.

Isu ini ditanggapi “secara serong” dan “salah faham” atau seolah-olah “diperbesarkan secara negatif” oleh individu tertentu di media sosial.

Paulus meminta agar jawatankuasa tersebut diberi masa cukup memberi cadangan lanjut terutama pada bahagian yang berkaitan untuk dipinda.

Speaker DUN Datuk Amar Awang Mohd Asfia Awang Nasar turut menolak usul persendirian Baru atas dasar Baru peguam kepada kes tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih dalam proses rayuan di mahkamah. – Sarawakvoice