Sunday, September 25, 2022

10,783 batang balak diselamatkan sejak 10 bulan lalu daripada dirompak pembalak haram — Len

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh semalam mendedahkan sebanyak 10,783 batang kayu balak telah berjaya dirampas daripada aktiviti pembalakan haram di negeri ini sepanjang sepuluh bulan pertama tahun ini.

“Kesemua kayu balak itu dianggarkan seberat 10,405 meter padu dengan royalti menjangkau RM676,345,” katanya ketika menjawab soalan Adun Dudong, Tiong Thai King dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Tegasnya, kerajaan telah menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk menjerut dan menjerat “perompak siang hari” ini, termasuk melaksanakan 528 operasi penguatkuasaan, yang dilakukan oleh Jabatan Hutan Sarawak.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 40 kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan selanjutnya.

Sejak 2014 hingga Oktober lalu pula, sebanyak 17 kes telah didakwa di mahkamah dan 10 kes telah dijatuh hukum manakala tujuh kes lagi masih dalam proses perbicaraan.

Bagi menjayakan aktiviti penguatkuasaan ini katanya, Kerajaan telah melaksanakan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang melibatkan agensi-agensi negeri dan persekutuan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Ketua Menteri Sarawak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru