Tuesday, June 28, 2022

Travelog ‘Saya Amoi Lah!’ tonjol budaya melayu daripada perspektif gadis Cina

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Bernama News Channel (BNC) bakal menyiarkan program travelog bertemakan budaya masyarakat Melayu di negara ini dari sudut pandangan seorang gadis Cina bertajuk ‘Saya Amoi Lah!’.

Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata program 13 episod yang menggunakan bahasa Mandarin itu adalah hasil kerjasama BNC dengan syarikat produksi tempatan Educed Production Works Sdn Bhd.

Beliau berkata penyiaran travelog yang menyelusuri setiap budaya masyarakat Melayu di seluruh negara itu dapat membantu penonton lebih memahami adat resam kaum Melayu yang semakin dilupakan generasi baharu masa kini.

“Generasi baharu ini terutamanya yang menetap di kawasan bandar sudah terlalu banyak dipengaruhi budaya luar, budaya global yang sama sekali mengetepikan warisan bangsa dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara Bernama dan Educed Production Works Sdn Bhd di Wisma Bernama semalam.

Turut hadir Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abd Wahab dan Ketua Pegawai Operasi BNC Hakimi Mohd Zain.

MoU itu ditandatangani antara Zulkefli dan Pengarah Urusan Educed Production Works Sdn Bhd Muhaimin Yussof

Zulkefli berkata penyiaran program itu nanti dapat mengetengahkan pelbagai keunikan budaya, adat resam dan pantang larang masyarakat Melayu, kepada generasi baharu dan kaum lain.

Bagi pengacara ‘Saya Amoi Lah!’ , Stella Chen, travelog itu bakal membawa penonton seolah-olah pulang semua ke kampung menerusi rakaman visual budaya Melayu yang cukup menarik dan berwarna-warni.

Personaliti televisyen berusia 21 tahun itu berkata program terbabit akan menonjolkan pelbagai aktiviti yang terkenal sebagai acara tradisi masyarakat Melayu.

“Antaranya seperti majlis kenduri kahwin di kampung, majlis mantai di Negeri Sembilan, belajar membuat keropok lekor di Terengganu selain mempelajari tarian tradisional seperti Dondang Sayang (Melaka), Boria (Pulau Pinang) dan Zapin (Johor).

“Semuanya mempunyai keunikan tersendiri dan saya cukup teruja malah tidak sabar untuk berkongsi bersama penonton BNC,” katanya.

Sementara itu Muhaimin berkata projek travelog berkenaan hasil suntikan dana daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)

“Saya Amoi Lah! dihasilkan dengan bantuan sepenuhnya menerusi DPIK (Dana Pembangunan Industri Kreatif) dan berharap ia bakal menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program bertemakan budaya dan adat resam masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Tambah Muhaimin, pihaknya kini hanya menunggu persetujuan untuk mula menyiarkan program itu menerusi saluran BNC 502 di Astro.

— BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru