Thursday, December 9, 2021

Teknologi dron bantu kumpul data hutan, intip aktiviti perompak balak di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin penggunaan teknologi dron di negeri ini akan dapat membantu mengumpul data yang lebih tepat tentang Sarawak, untuk disimpan di dalam “big data”nya.

Katanya, antara maklumat tersebut termasuklah fakta tentang flora dan fauna serta sistem ekologi negeri, apabila proses survei selepas ini menjadi lebih cepat dan luas.

“Malah ia juga mampu mengambil alih tugasan renjer hutan apabila berkait tentang pembalakan haram, mahupun pengenalpastian pokok atau tumbuhan yang ada di tengah hutan,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Aplikasi Komputer dan Dron di Hotel Damai Beach Resort di sini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Profesor Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Pro Canselor UiTM Sarawak, Tan Sri Safri Awang Zaidell.

Lebih 250 peserta dan penyelidik termasuk dari tujuh negara luar menghadiri persidangan yang julung kali diadakan di negara ini.

Kata Abang Johari, penggunaan teknologi dron di Sarawak telah dilaksanakan secara serius sejak beberapa tahun lalu, apabila ia dikomersialkan dan tidak lagi menjadi hak eksklusif industri ketenteraan.

“Malah ia digunakan untuk tujuan risikan udara memandangkan ia memiliki sistem kamera yang melakukan pancaran secara real time.

“Justeru ia amat sesuai digunakan untuk pengawasan dan pengintipan aktiviti pembalakan haram dan perlakuan jenayah lain.

“Ia juga lebih selamat, kerana jika ditembak jatuh oleh penjahat, kita boleh dapatkan yang lain dan tidak melibatkan nyawa manusia,” tambahnya lagi.

Dalam konteks Sarawak katanya, penggunaan dron lebih menjimatkan masa kerana selain pantas, ia juga menyediakan liputan survei yang lebih luas.

“Dengan keluasan hutan Heart of Borneo yang menjangkau 2.5 juta hektar, sewajarnya teknologi dron digunakan untuk melakukan pengawasan.

“Ia lebih efektif dan tepat,” jelasnya lagi.

Katanya, Jabatan Hutan Sarawak pada tahun depan akan menggunakan dron yang ditempah khas dari Austria untuk melakukan pengawasan pembalakan haram dan menjalankan pengumpulan data.

“Teknologi ini jelas dapat membantu kita membanteras pembalakan haram pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Mengulas sama ada Sarawak akan melaksanakan pelesenan terhadap penggunaan dron di negeri ini, beliau memberitahu perkara itu akan dibincangkan bersama-sama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, untuk mengenal pasti bidang kuasa masing-masing. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru