KUCHING: Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, berhampiran gereja BDC di Jalan Stutong, dekat sini, lewat malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 11.13 malam dan sebuah jentera FRT dengan kekuatan tujuh anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.

“Sebuah ambulans EMRS dengan dua anggota turut dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang,” jelasnya lagi.

Setibanya pasukan di lokasi kata Ling Hii, mereka mendapati kemalangan melibatkan
sebuah kenderaan Perodua Myvi yang terbabas seraya melanggar pokok.

“Terdapat seorang mangsa lelaki terperangkap di dalam kenderaan tersebut dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan yang terlibat kemudian pantas mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pasukan paramedik EMRS untuk rawatan awal ke sebelum dikejarkan ke Jabatan Trauma dan Kecemasan Hospital Umum Sarawak.

Katanya, mangsa yang berusia 27 tahun bagaimanapun diisytihar meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

Kes kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, tambahnya lagi. – Sarawakvoice