20 calon berpotensi: Suhu politik di Puncak Borneo  semakin panas menjelang PRU-14

Dr Awang Azman Awang Pawi

Nama Parlimen Puncak Borneo ialah nama baharu kawasan Parlimen Mambong hasil pindaan  yang disyorkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada penghujung 2015.  

Parlimen ini hangat diperkatakan apabila Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit  yang merupakan penyandang  kerusi  ini mengumumkan  secara terbuka tidak akan mempertahankan jawatan kerana masalah kesihatan  yang dialaminya.

Kuasa KM dan PM

Tidak lama selepas  pengumuman tersebut,  Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg  menegaskan  bahawa  mana-mana bakal pengganti hanya akan  ditentukan dan dirunding antara beliau selaku Pengerusi BN Sarawak dan Pengerusi  BN Pusat,iaitu Datuk Seri Najib Razak.

Hal ini mengelakkan amalan penyandang menamakan sendiri bakal pengganti tanpa dibincangkan terlebih dahulu dalam kepimpinan tertinggi parti.

Hal ini juga untuk membuka ruang yang lebih luas untuk mengenal pasti calon-calon berpotensi, popular, mesra rakyat, boleh menang dan berkredibiliti lebih tinggi untuk diketengahkan sebagai bakal  calon boleh menang.

Siapa Calon Pengganti Berpotensi?

Difahamkan  Dr Dawos yang kini mencecah usia 69 tahun pernah menamakan Timbalan Ketua Cawangan PBB Mambong, Datuk Detta Samen sebagai pilihan peribadinya.

Namun  setakat ini dikatakan terdapat  belasan calon yang berpotensi. Menurut laporan akhbar tempatan pula sekurang-kurang 20 individu menunjukkan  minat dan melobi untuk menjadi calon pengganti.

Mereka yang berminat ini seolah-olah mendapat isyarat apabila penyandang mengumumkan pengundurannya.

Jumlah yang banyak ini  bukanlah luar biasa dengan peningkatan pendidikan tinggi dalam kalangan anak-anak Bidayuh. Ramai antara yang berpotensi juga berjaya dalam pelbagai sektor termasuk ahli akademik universiti, peguam, usahawan, penjawat awam, arkitek dan sebagainya.

Pencapaian Dawos

James Dawos pertama kali bertanding di Parlimen pada tahun 1999 dan berjaya menewaskan Jerip Susil yang ketika itu  bertanding atas tiket pembangkang, iaitu Star.  Kini sudah empat penggal, James Dawos  bertanding.

Pada PRU 12 pada tahun 2004 pembangkang hanya  mencecah 28 peratus undi, namun pada PRU 2008 dan 2013 pembangkang mampu mengekalkan  undi mereka sebanyak 34 peratus, manakala Dawos mendapat 64 peratus undi.  Namun, dijangka PBB akan tetap menang  di Parlimen ini  yang merupakan antara kubunya yang majoritinya terdiri daripada etnik Bidayuh.

Dari satu segi, ia menyebabkan ramai yang berminat untuk bertanding kerana ia merupakan kawasan Parlimen yang putih atau selamat bagi BN.

Sudah tentu tidak ramai yang berani  melobi dan menonjolkan dirinya untuk bertanding di  kawasan hitam BN seperti Parlimen di Kuching, Sibu dan Miri yang ibarat menempah ketewasan.

Keperluan semasa

Di kala pembangkang menyenaraikan calon muda dan berpendidikan tinggi, PBB juga perlu mengetengahkan calon  sedemikian sebagai usaha peremajaan parti.

Sekiranya usia 69 tahun terus bertanding misalnya, bagaimanakah melakukan  proses perkaderan atau pembinaan kepemimpinan masa depan sedangkan yang ingin diketengahkan pula tidak jauh beza usia.

Ternyata Dr James Dawos berjiwa besar dan langkah pengumuman pengundurannya bukan sahaja mengira faktor kesihatannya , tetapi juga proses membantu peremajaan parti PBB.

Calon berpotensi perlu dinilai masyarakat sebagai berintegriti tinggi, mesra rakyat,  prihatin rakyat. Pada masa kini rakyat sangat prihatin akan faktor pemilihan calon khususnya dalam isu integriti calon.

Sekiranya  pernah terlibat dalam persatuan bukan kerajaan  misalnya, ia merupakan nilai tambah mengukuhkan ikatan di peringkat akar umbi.

Di peringkat Parlimen bahasa pengantar yang digunakan ialah bahasa kebangsaan. Justeru, calon yang dipilih perlu  berkemampuan berhujah  berbahasa kebangsaan dengan lancar dan fasih.

Lihat sahaja debat  di Parlimen yang memancarkan kelancaran dan kefasihan serta kebijaksanaan berbahasa yang ditunjukkan oleh wakil rakyat.   Sudah tentu medan ini tidak sama seperti di dewan undangan negeri yang lebih banyak dan dibenarkan berhujah menggunakan bahasa Inggeris yang memerlukan wakil rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Sudah tentu nama calon-calon berpotensi turut dipantau oleh sekurang-kurangnya  sembilan agensi yang terlibat dalam hal-ehwal politik semasa khususnya di Sarawak. Namun pada akhirnya kuasa memutuskan calon muktamad ialah pengerusi BN Negeri dan pengerusi BN di Kuala Lumpur. – Sarawakvoice