Rakyat China sanggup berbaris panjang beli iPhone X dan durian M’sia

0
4

KUALA LUMPUR: Di China, rakyatnya kini beratur bukan sahaja untuk membeli iPhone X, bahkan juga sanggup berbaris panjang semata-mata mahu membeli durian Malaysia.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata di Dewan Rakyat, durian popular di China sebagai menjawab soalan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang membangkitkan harga melampau durian Musang King di pasaran sekarang.

Sebelum ini Lim Guan Eng (DAP-Bagan) menuduh kerajaan menjadi punca harga durian Musang King melonjak tinggi selepas membenarkan buah tersebut dieksport ke China.
“Kita lihat durian ini luar biasa dari segi nilai dan rasa. Jadi kita harus rasa bangga,” kata Ahmad Shabery memetik Malaysiakini pada Khamis.

Ahmad Shabery turut menjelaskan kenaikan melampau durian di pasaran tempatan berunca daripada pengeluaran berkurangan dan merosot sehingga 20 peratus berbanding musim lepas, bukan sebab pengeksportan buah itu ke China.

Musang King dikatakan dijual sehingga RM100 sekilogram dan dari satu segi menurut Ahmad Shabery memberi manfaat kepada petani.

Memetik Bernama, Ahmad Shabery memberitahu lebih 150,000 rakyat China mengunjungi Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, baru-baru ini untuk menikmati keenakan durian Malaysia.

Beliau berkata sungguhpun eksport raja buah itu ke China masih kecil, ia menunjukkan potensi besar dan boleh dijadikan sumber kekayaan baharu negara.

Menurut beliau, paten eksport ke China pada 2015 adalah sekitar RM23 juta berbanding RM18 juta pada 2016 dan ia kecil berbanding keseluruhan jumlah eksport sekitar RM74 juta. – Sarawakvoice