Tuesday, September 27, 2022

Enam daripada setiap 10 kes keganasan rumah tangga di Sarawak berpunca daripada dadah, arak, pil khayal — Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Secara purata, enam daripada 10 kes keganasan rumah tangga di negeri ini mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah dan pengaruh arak serta pil khayal.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan di seluruh negeri Sarawak sepanjang tempoh tujuh bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 323 kes.

“Pada tahun 2013, jumlah kes keganasan rumah tangga adalah sebanyak 238 kes, dan meningkat kepada 358 kes (2014).

“Pada 2015, jumlah kes menyusut kepada 279 kes sebelum melonjak kepada 427 kes pada 2016,” katanya ketika ditemui pada pameran Melestarikan Kesejahteraan Komuniti di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Pameran tersebut dilangsungkan sepanjang persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak iaitu pada 9 hingga 17 November.

Perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tengah hari tadi yang menyampaikan hasrat dan harapan beliau terhadap kesejahteraan komuniti menerusi ‘Wishing Tree’.

Mengulas lanjut kes keganasan rumah tangga, Fatimah menjelaskan, input daripada pelbagai agensi semasa dialog dan wacana bestari yang dianjurkan oleh Majlis Pembangunan Sosial menuntut pihaknya memandang serius isu ini dan Jabatan Kebajikan Wanita Sarawak telah bertindak proaktif dengan menwujudkan ‘helpline’ iaitu saluran pemudah cara untuk membantu pasangan malang ini.

“Helpline ini akan bertindak membantu menyediakan khidmat nasihat daripada pakar kaunseling serta mengenal pasti prosedur undang-undang daripada agensi yang tepat.

“Talian ini juga adalah kesinambungan daripada penerbitan buku Panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Menangani Keganasan Rumah Tangga (KRT) Terhadap Wanita dan Kanak-kanak, ”katanya.

Turut membantu wanita yang mengalami masalah keganasan rumah tangga ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Helpline, yang membantu wanita yang memerlukan khidmat kaunseling dan sokongan emosi serta ingin tahu akan prosedur berkaitan kes penderaan, penceraian dan hak penjagaan anak.

“Jabatan ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan pada masa terdekat ini akan mengadakan toll-free serta beroperasi sepanjang masa.

Katanya, bagi mereka yang menjadi mangsa keganasan ini, akta yang boleh dirujuk ialah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 dan Buku Panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) Menangani Keganasan Rumah Tangga. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru