Saturday, August 20, 2022

Cagar blok gas Sabah kepada China untuk biayai Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) dakyah palsu — Abdul Rahman Dahlan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa mesej yang tersebar luas melalui perkhidmatan WhatsApp dan media sosial sejak petang Selasa, kononnya sebagai amaran kepada rakyat Sabah, Ahli Parlimen dan Adun Sabah berhubung projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) adalah satu pembohongan serius.

Mesej tersebut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencagarkan blok gas dan minyak di perairan Sabah kepada China untuk pinjaman sebanyak RM100 bilion.

“Ini sudah tentu merupakan satu pembohongan yang terang-terangan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab; yang akan mendapat manfaat daripada kemarahan dan rasa tidak percaya rakyat terhadap Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Untuk mengetahui perkara yang sebenar katanya, pemilik merangkap pemaju TSGP ialah Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia manakala The China Petroleum Pipeline Bureau (CPP) melaksanakan urusan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan kontraktor (EPCC).

Biarpun projek itu akan dibiayai melalui pinjaman mudah Eksport dan Import (EXIM) Bank of China, tidak ada kebenaran dalam dakwaan bahawa jumlah pinjaman akan menjadi RM100 bilion dan blok gas dan minyak di perairan Sabah telah diserahkan kepada China sebagai jaminan pinjaman itu.

Gambar fail – Abdul Rahman Dahlan

“Jumlah pinjaman sebenar adalah sebanyak RM4.53 bilion; yang merupakan jumlah kos projek dan ia akan dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.

“Dengan adanya jaminan kerajaan, tidak ada keperluan untuk SSER mencagar mana-mana blok gas dan minyak Malaysia kepada China.

“Urusan tanah merupakan bidang kuasa negeri. Tanpa penglibatan dan kerjasama di antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, projek ini tidak akan dapat diteruskan sekali gus menafikan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak dibawa berunding atau terlibat dalam projek ini.

“Segala bahan, peralatan dan tenaga kerja untuk membina saluran paip ini diperoleh dari dalam dan luar negara, sama seperti projek-projek infrastruktur lain iaitu MRT dan ECRL.

“Melalui projek infrastruktur tenaga utama ini, Sabah akan dapat meningkatkan rantaian nilai dan menambah nilai kepada komoditi-komoditi tempatan serta bahan-bahan mentah.

“Sekali gus mengurangkan kebergantungan negeri kepada industri utama dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat di seluruh negeri selain meningkatkan tahap pendapatan mereka,” katanya lagi.

Rakyat tegasnya, perlu menyemak apa jua berita yang tidak disahkan dari sumber yang tidak diketahui, yang bertujuan untuk mewujudkan rasa tidak puas hati dan rasa tidak percaya terhadap kerajaan.

“Berkongsi tanpa mengesahkan, hanya akan mengekalkan dan memburukkan situasi berita palsu yang kita hadapi hari ini,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru