Wednesday, December 7, 2022

“Berhenti lakukan aktiviti kurang siuman… sebab berdosa!” Zuraida nasihati Jamal

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: “Saya minta dia berhenti lakukan aktiviti kurang siuman dan bukan-bukan sebab berdosa, jadi kalau lepas ini dia buat lagi perkara sama, dia akan terima padahnya,” luah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin terhadap Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Pada sidang media selepas pelancaran Geran Penyelidikan Institut Wanita Berdaya dan Program Perlindungan Kanak-kanak Selangor di Ampang pada Rabu, Zuraida mengulas berkaitan kes saman beliau terhadap Jamal berhubung “insiden pukul” pada 13 November 2016 lalu.

Dalam kejadian tersebut, Jamal mendakwa mukanya ditumbuk ketika mengetuai penyokong Baju Merah semasa mengekori Zuraida di Pusat Beli-belah Ampang Point.

Jamal turut menjerit polis memukulnya serta menuduh penyokong Bersih mencederakannya.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang itu meminta Jamal berhenti melakukan perkara “tidak siuman” dan membuang masa serta jadikan hal tersebut sebagai pengajaran dan tidak mudah untuk membuli orang.

Tambah Zuraida, “kalau dia buli orang lagi, kita akan terus ambil tindakan dan takkan biarkan orang macam ini merosakkan masyarakat.”

Pada Selasa, Hakim Mahkamah Tinggi, S.Nantha Balan puas hati dengan proses mediasi hampir empat jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyelesaikan kes saman fitnah Zuraida terhadap Jamal.

Pada 17 November 2016, Zuraida memfailkan saman fitnah terhadap Jamal atas dakwaan mengeluarkan perkataan fitnah terhadapnya berhubung insiden pukul di Ampang.

Dalam mediasi tersebut, Zuraida dan Jamal mencapai kata sepakat menyelesaikan kes tersebut dengan cara baik sehingga tidak perlu melalui prosiding perbicaraan penuh.

Zuraida diwakili peguam N.Surendran dan Latheefa Koya.

Sementara Jamal yang juga pemimpin Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu diwakili oleh Peguam Mohammed Nasser. – Sarawakvoice

Zuraida Kamaruddin

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru