Agensi kerajaan berperanan besar lahirkan usahawan tempatan

0
12

KUALA LUMPUR: Peranan agensi kerajaan terbukti banyak membantu melahirkan ramai usahawan tempatan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) khususnya untuk menghasilkan produk makanan halal.

Akademi Perikanan Malaysia (APM) antara agensi kerajaan yang berperanan memberi latihan dan kursus intensif kepada bakal usahawan yang ingin menceburi bidang makanan berasaskan hasil laut.

Bagi seorang usahawanita yang mengusahakan produk makanan berasaskan otak-otak, Norlizah Haman, 41, terkenal dengan jenama Otak-Otak Ledang bermula menghasilkan produk sendiri selepas mendapat latihan dari APM.

Pemilik syarikat Foods dari Tangkak Johor itu mengakui agensi kerajaan seperti APM banyak memberikan tunjuk ajar dan latihan praktikal membolehkan peserta menjadi usahawan.

“Tercetusnya menghasilkan produk berasaskan otak-otak ini semasa saya belajar di Akademi Perikanan Malaysia (APM), Terengganu, dari situ saya belajar untuk menghasilkan otak-otak. “Saya juga terfikir untuk membuat resipi sendiri dengan terhasilnya burger otak-otak, popia otak-otak dan  produk baharu iaitu bebola otak-otak.

“Bebola otak-otak ini saya hasilkan hampir dua bulan dan Alhamdulillah sambutannya sungguh menggalakkan dan di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 ini terpaksa membuat dua kali pesanan kerana permintaan tinggi,” katanya semasa KUD 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, baru-baru ini.

Katanya, peranan agensi kerajaan tidak terhenti di situ sahaja, bahkan setahun selepas dia mengusahakan otak-otak, produk Norlizah mendapat perhatian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Ketika 2011 saya mula-mula buat otak-otak ini dan pada 2012 saya mula mendapat perhatian daripada RISDA sejak permulaan lagi. RISDA bantu saya dari segi peralatan.

“Ini bagai satu suntikan sokongan semangat untuk saya terus perniagaan ini,” katanya. Norlizah berkata lagi, dia tidak gentar dengan persaingan dalam industri makanan di pasaran kerana yakin produknya mempunyai kelebihan tersendiri.

“Maklum balas yang saya terima daripada pelanggan memang sangat memberangsangkan dan mereka kata otak-otak ledang terbaik dan sedap “Saya rasa lebih yakin apabila pelanggan datang lagi dan membuat tempahan dan ini bermakna produk saya boleh diterima ramai,” katanya lagi.  — theRakyat