Monday, August 15, 2022

29.2 peratus penduduk Malaysia sakit jiwa — Subra

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 29.2 peratus rakyat negara ini yang berusia 16 tahun ke atas menunjukkan prevalen atau kelaziman mengalami masalah mental.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, dapatan ini diperoleh daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2015.

“Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat akan isu kesihatan mental dalam kalangan rakyat negara ini.

“Justeru itu, beberapa langkah telah diambil untuk mengatasi masalah kini termasuk melaksanakan Program Kesihatan Mental Komuniti, dengan perkhidmatan kesihatan mental dilaksanakan secara integrasi meliputi promosi, saringan dan pengesanan awal stres, keresahan dan kemurungan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin di Parlimen pagi tadi.

Kata Subramaniam, bagi meningkatkan kemahiran menangani stres, latihan kemahiran daya tindak dan aktiviti pemerkasaan komuniti dilaksanakan, dengan elemen menangani stres dimasukkan sebagai salah satu modul dalam KOSPEN dan KOSPEN Plus.

“Kementerian juga bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk  melaksanakan saringan DASS bagi murid-murid Tingkatan 4 di 2,343 buah sekolah menengah harian seluruh negara.

Kementerian Kesihatan katanya, juga menyediakan perkhidmatan psikiatri di empat institusi mental dan 33 buah hospital kerajaan.

“Di peringkat primer pula, sebanyak 938 klinik kesihatan telah melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental yang melibatkan lebih 200 pakar perubatan keluarga yang terlatih dalam psychoeducation untuk merawat kemurungan dan pengurusan kes berkaitan stres.

Kementerian turut mewujudkan 22 pusat kesihatan mental komuniti di seluruh negara dan akan memperluaskan aktiviti dan program-program berkaitan kesihatan mental dalam komuniti (Program KOSPEN), dengan pakar-pakar Kementerian Kesihatan Malaysia akan melatih sukarelawan KOSPEN dalam aspek kemahiran kesihatan mental menangani stres.

“Tanggungjawab menangani isu kesihatan mental adalah tanggungjawab semua dan terletak juga di bahu semua agensi,” tegasnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru