Bajet Abang Johari penuhi aspirasi rakyat Sarawak

Bajet Kerajaan Negeri Sarawak kali ini dapat dianggap bajet yang cukup besar, mengalahkan bajet negeri Selangor.

Kerajaan Selangor hanya memperuntukkan RM3.5 bilion untuk belanjawan negeri itu bagi tahun 2018.

Daripada jumlah tersebut RM1.46 bilion diperuntukkan bagi belanja mengurus pembangunan negeri itu.

Maksudnya, dari segi peruntukan untuk pembangunan, bajet Sarawak ternyata lebih banyak disalurkan untuk tujuan itu.

Selangor dibuat perbandingan kerana itu negeri paling maju di Malaysia.

Dalam Dewan Undangan Negeri hari ini, Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg memperuntukkan sebanyak RM8.226 bilion bagi pembangunan dan perbelanjaan negeri ini untuk tahun 2018.

Daripada jumlah tersebut sebanyak RM5.745 bilion atau 70 peratus diperuntukkan untuk tujuan pembangunan, manakala RM2.481 bilion atau 30 peratus pula untuk perbelanjaan mengurus.

Bukan mudah untuk mencapai keseimbangan lebih-lebih lagi untuk meningkatkan jumlah peruntukan dalam bajet. Apatah lagi, di sebalik kemerosotan hasil atau pendapatan susulan menjunamnya harga minyak dan hasil daripada perhutanan, dan meningkatnya perbelanjaan.

Pengumuman dan pembentangan Bajet 2018 dilakukan  Abang Johari pada Ucapan Belanjawan 2018 di Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Kelapan Belas yang bermula hari ini sehingga 17 November 2017 di Dewan Undangan Negeri,pagi tadi.

Hal ini jelas membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk mempergiatkan pelaksanaan program mahupun projek untuk pembangunan negeri.

Seharusnya, tumpuan bajet adalah untuk pembangunan. Jika sesuatu bajet, sebahagian besar disalurkan untuk tujuan mengurus, sudah tentu itu akan menjejaskan matlamat dan sasaran kerajaan.

Justeru, untuk Bajet 2018 Sarawak, telah disediakan 53 peratus untuk pembangunan di kawasan luar bandar.

“Sebanyak 53 peratus atau RM3.062 bilion daripada peruntukan pembangunan akan digunakan untuk membangunkan kawasan luar bandar.  Peruntukan ini lebih tinggi berbanding RM2.65 bilion pada 2016 dan RM2.982 bilion pada 2017,” kata Abang Johari dalam pembentangan itu.

Kerajaan perlu menyalurkan lebih banyak peruntukan ke luar bandar bukan sahaja sebagai membalas budi rakyat yang memberi sokongan padu kepadanya, tetapi juga untuk menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik dan sebagainya.

Kini, tanggungjawab itu terletak di bahu Abang Johari.

Usaha berterusan kerajaan negeri dalam pembangunan luar bandar adalah penting untuk mencapai matlamat pembangunan dalam membuka peluang yang lebih besar di kawasan luar bandar dan terpencil untuk kemakmuran ekonomi komuniti luar bandar negeri kita.

Tumpuan memang sewajarnya diberi terhadap usaha menyiapkan projek yang belum dapat disiapkan, terbengkalai, atau belum dijalankan, tetapi penting untuk rakyat.

Rakyat telah merayu dan memohon projek berkenaan. Dengan peruntukan besar itu, pastinya, sebahagian daripada rungutan rakyat akan dipenuhi.

Kita perlu memberi ruang kepada ketua menteri, apatah lagi ini merupakan bajet pertama beliau selepas menjadi ketua menteri pada 13 Januari lalu.

Bagi kawasan bandar pula beliau inginkan anak-anak negeri ini dapat menikmati kemudahan yang baik untuk pembangunan bakat mereka dan menggalakkan inovasi dan keusahawanan yang lebih besar terutamanya dalam kalangan golongan belia.

Berdasarkan peruntukan yang disalurkan untuk tujuan itu, jelaslah bahawa beliau ingin memastikan Sarawak dapat melahirkan bakat yang sesuai, selari dengan aspirasi beliau ke arah menjadikan Sarawak hebat dari segi ekonomi digital.

Ternyata  bajet ini bertujuan untuk mencapai pembangunan ekonomi yang seimbang, bukan sahaja antara luar bandar dengan bandar, tetapi juga antara sektor dan bidang.

Bajet ini sesungguhnya memenuhi aspirasi rakyat Sarawak melangkah ke tahun yang lebih mencabar. – Sarawakvoice