Tuesday, December 6, 2022

SEB terajui penyelidikan bahan bakar berasaskan hidrogen, bakal direalisasikan dalam tempoh 5 tahun — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi mengumumkan penubuhan pasukan penyelidik khas di bawah Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk mengkaji penggunaan sel bahan bakar berasaskan hidrogen untuk kegunaan industri pengangkutan di negeri ini.

Menurutnya, SEB telah diamanahkan oleh Majlis Penyelidikan Negeri untuk melaksanakan proses ini dengan modal awal RM5 juta.

“Penyelidikan SEB berkaitan hidrogen dan sel bahan bakar akan menjadi sebahagian daripada penekanan terbaharu kerajaan untuk membangunkan negeri ini, dengan memanfaatkan segmen penyelidikan dan pembangunan ke arah mencapai matlamat 2030.

“Segala penemuan dan cadangan daripada kajian ini akan dikongsi bersama-sama dengan Majlis Penyelidikan Negeri, seterusnya membantu dalam membuat keputusan lebih lanjut mengenai penggunaan hidrogen sebagai teknologi bahan bakar,” katanya dalam sidang media khas di Menara Sarawak Energy di sini sebentar tadi.

Turut hadir Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Setiausaha Kerajaan Negeri,  Tan Sri Morshidi Ghani; Pengerusi SEB, Tan Sri Hamed Spawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili.

Menurut Abang Johari, dengan sumber kuasa hidro elektrik bersih yang banyak, Sarawak mampu menyediakan suasana yang ideal untuk membolehkan kejayaan ekonomi hidrogen ini.

“Sehubungan itu, SEB diharap dapat merintis penerokaan penggunaan teknologi ini dan menjadikannya bahan bakar komersial di negeri ini selepas kajian ini dilaksanakan.

“Perkara ini tidak mustahil kerana teknologi ini sudah dimajukan di negara-negara luar termasuk Jepun, yang kini mencipta kenderaan berasaskan bahan bakar tersebut.

“Antara syarikat yang telah melaksanakan penyelidikan dan pembangunan ini termasuklah syarikat teknokrat antarabangsa, Siemens.

“Justeru tidak keterlaluan untuk kita menetapkan tempoh kajian selama lima tahun biarpun kita ada tempoh sehingga tahun 2030,” jelasnya lagi.

Katanya, diharapkan selepas ini hidrogen dapat menjadi bahan bakar utama untuk bidang seperti sektor pengangkutan dan penstoran tenaga kerana teknologi itu matang dan akan menjadi tumpuan komersial pada masa depan.

Sarawak tegasnya, bercita-cita untuk mengubah sektor pengangkutan awamnya kepada teknologi bersih dan hijau.

“Justeru itu, teknologi hidrogen dan bahan bakar adalah amat sesuai dan relevan kerana ia diketahui bersih, dan air merupakan satu-satunya produk yang digunakan dalam proses menghasilkan elektrik.

“Sekiranya kita berjaya menerapkan teknologi ini terutamanya dalam sektor pengangkutan, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan kita terhadap bahan api fosil dan mengurangkan jejak karbon.

“Rakyat pula dapat menikmati pengangkutan awam moden dan efisien dengan impak minimum terhadap alam sekitar.

Sarawak katanya, boleh memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi ini yang akan mengubah landskap penggunaan tenaga di seluruh negara dan serantau, seterusnya mendorong ekonomi kita ke hadapan.

“Jika ini berjaya, pembangunan ini akan memberi manfaat bukan sahaja kepada negeri ini tetapi membuka peluang yang besar kepada Sarawak untuk mengeksport tenaganya ke pasaran global,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru