Saturday, December 3, 2022

Najib lawat mangsa banjir di Permatang Pauh

Secara Rawak

BUKIT MERTAJAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat mangsa banjir di Kampung Tanjung Putus, Permatang Pauh, di sini.

Najib yang tiba pada pukul 12.05 tengah hari, ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor, dan diiringi Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Anggota Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Perdana menteri dan isteri kemudian mengharung air banjir setinggi paras betis untuk meninjau pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Surau Kampung Tanjung Putus yang menempatkan 150 keluarga.

Najib kemudian berjumpa dan beramah mesra dengan mangsa banjir di situ serta menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada mereka.

Perdana menteri kemudian dijadual bergerak ke Masjid Nyior Sebatang, di Tasek Gelugor untuk melawat mangsa banjir di situ.

Sementara itu, Mohd Zaidi ketika ditemui pemberita berkata secara keseluruhannya perdana menteri berpuas hati dengan bantuan yang disalurkan oleh agensi dan jabatan kerajaan kepada mangsa banjir di negeri ini.

“Perdana menteri berpuas hati dengan jentera UMNO dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang ke depan membantu masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir mencukupi, bagaimanapun terdapat kekurangan dari segi barang keperluan lain seperti bantal dan cadar tebal (Toto) kepada mangsa banjir di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

Justeru, Mohd Zaidi berkata perdana menteri akan menyalurkan sumbangan bantal dan Toto itu kepada 3,000 mangsa banjir di kawasan Parlimen Permatang Pauh. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru