Saturday, June 25, 2022

Abang Johari disifatkan pemimpin politik berwawasan, berkebolehan

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Haji Openg disifatkan sebagai pemimpin yang berwawasan, berkebolehan, berani bertindak, dan banyak berkorban dalam  membangunkan Sarawak.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, bagi Abang Johari, politik ialah platform untuk mengubah nasib rakyat, dan mentransformasi  Sarawak, tanpa mengira kaum,  sama ada mereka tinggal di bandar, luar bandar, di kaki gunung, di lembah, di pedalaman atau pesisiran, berasaskan prinsip keterangkuman.

“Beliau sentiasa punya ilham dan idea bernas untuk memajukan Sarawak dari segi prasarana, ekonomi, pelancongan, perindustrian, perumahan, pelajaran, dan sebagainya,”’ katanya dalam ucap jasa sempena pemasyhuran Abang Johari sebagai Pro-Canselor pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-21 di Dewan Arena Gemilang, DeTAR Putra, UNIMAS di sini, semalam.

Hal ini terbukti daripada sekian banyak dasar dan langkah yang diperkenalkannya  setakat ini, termasuk ekonomi digital, menubuhkaan agensi khas untuk membangunkan kawasan tanah tinggi dan hulu Rajang, Syarikat Petroleum (Petros), Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), dan banyak lagi.

Foto UNIMAS

Katanya, Abang Johari  juga sentiasa memberi perhatian berat kepada UNIMAS, sebagaimana terbukti daripada  langkah menyediakan biasiswa khas untuk 40 pelajar perubatan, berjumlah RM20 juta.

“Maka, pelantikan YAB Ketua Menteri, sebagai Pro-Canselor Keempat UNIMAS adalah bertepatan sekali dengan aspirasi UNIMAS untuk muncul sebagai universiti tersohor yang  berupaya melahirkan graduan dan siswazah yang terbilang, berdaya saing, serta mampu berdiri sama tinggi dengan lulusan universiti terkemuka dunia,” katanya.

Pada majlis itu, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyempurnakan pemasyhuran sebelum menyampaikan skrol kepada graduan.

Dalam majlis konvokesyen selama tiga hari yang bermula semalam, 4,120 graduan akan menerima ijazah masing-masing.

Menurut Mohamad Kadim, walaupun pada awalnya ada yang bimbang, beliau bakal diseliputi bayangan bekas Ketua Menteri Almarhum Pehin Sri Adenan Satem, namun ternyata, Abang Johari, tidak mengecewakan dan menghampakan rakyat.

“Beliau bukan sahaja berjaya keluar dari bayangan Alamarhum, tetapi  ternyata mampu mengisi kasut besar yang ditinggalkan Tok Nan dan Tun Pehin Sri Abdul Taib,” katanya.

Tambahnya, Abang Johari kelihatan bagai tidak henti-henti mencetuskan ilham dan idea, berpaksikan falsafah berjuang dan berkhidmat untuk Sarawak – demi kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan 2.7 juta rakyat Bumi Kenyalang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru