Apabila Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor selesai membentangkan Bajet pada Jumaat lalu, saya fikir rakyat Selangor kini mengetahui apakah manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH)  menjelang PRU-14 nanti.

Kemampuan Azmin dan PH untuk ‘survive’ dari segi politik dengan menggunakan sesi pembentangan bajet sebagai alat untuk berkomunikasi dengan rakyat dan secara tidak langsung menggariskan hala tuju kerajaan negeri pada tahun-tahun mendatang tidak boleh diperkecilkan.

Walaupun pengalaman Menteri Besar Selangor yang ke-15 itu dalam menggerakkan pentadbiran negeri agak baharu, bermula hujung 2014, tetapi keseluruhan pengalaman PH yang menguasai Kerajaan Negeri di Selangor semenjak tahun 2008 tentunya amat berguna dan memenuhi cita rasa rakyat Selangor.

Peruntukan keseluruhan Bajet 2018 bagi negeri Selangor adalah berjumlah sebanyak RM3.12 bilion. Daripada jumlah itu, sebanyak 46.8 peratus (RM1.46 billion) diperuntukkan untuk belanja mengurus dan sebanyak 53.2 peratus (RM1.66 bilion) untuk pembangunan. Dan ini menjadikan jumlah defisit perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM820 juta.

Dalam pembentangan bajet, perbezaan antara peratusan yang diperuntukkan untuk belanja mengurus dan belanja untuk pembangunan akan menjadi fokus utama. Ini adalah kerana peruntukan yang rendah bagi belanja mengurus secara lazimnya mencerminkan kecekapan pengurusan. Sebaliknya, belanja mengurus yang besar sering dikaitkan dengan pengurusan yang tidak efisien.

Peratusan bagi perbelanjaan pembangunan pula kebiasaannya dikaitkan kegiatan untuk menjana pendapatan pada tahun-tahun mendatang. Peruntukan pembangunan seperti pembinaan infrastruktur, usaha menarik pelaburan, pendidikan dan kesihatan dijangka akan membawa kesan pengganda yang lebih besar terhadap pertumbuhan ekonomi berbanding dengan peruntukkan untuk belanja pengurusan.

Dalam kes Selangor, Azmin Ali dapat menunjukkan peratusan peruntukan antara pengurusan dan pembangunan agak seimbang dan secara tidak langsung memberi gambaran bahawa pengurusan kewangan di Selangor berada pada tahap optimum.

Berbanding dengan Kerajaan Persekutuan yang memperuntukkan hanya 16.2 peratus, Bajet 2018 Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak 53.2 peratus (RM1.66 bilion) pembangunan.

Tetapi harus diingat, daripada jumlah RM1.66 bilion tersebut, sebetulnya hanya 45 peratus (RM746 juta)  daripada jumlah tersebut yang diperuntukkan kepada pembangunan infrastruktur (membina jalan, jambatan, kerja penggantian paip dan sebagainya).

Bakinya sebanyak 55 peratus lagi (RM914 juta) diperuntukkan untuk program ‘memenangi hati rakyat’ menerusi Program Air Percuma (RM185.2 juta), Program Peduli Siswa (RM10 juta),  Kasih Ibu Smart Selangor (RM72 juta), Skim Mesra Usia Emas (28 juta), Tabung Warisan Anak Selangor (5 juta), Tabung Pahlawan Angkatan Tentera (RM1.5 juta), Jemaah Haji Muassasah (3.25 juta), program Jom Shopping (RM10.4 juta), program bantuan blueprint pembasmian kemiskinan (RM2 juta), Perumahan Generasi Kedua Felda, Skim Perlindungan Insurans Penjawat Awam, Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam (3 bulan gaji) dan lain-lain.

Dalam istilah ekonomi, RM914 juta ini dianggap sebagai ‘belanja hangus’ di mana kesan penggandanya, jika adapun dikira terlalu kecil untuk membantu ekonomi golongan sasar ini.

Peratusan yang diperuntukkan oleh MB Selangor untuk ‘belanja hangus’ dalam Bajet 2018 amat tinggi. Ia menjurus kepada matlamat memenangi hati rakyat.

Saya kira mungkin ada rakyat Selangor yang bertanya apakah hala tuju bajet alternatif yang boleh diberikan oleh BN Selangor. Malangnya, sehingga kini tiada inisiatif yang dimajukan supaya rakyat dapat membuat perbandingan. – Sarawakvoice