Monday, June 27, 2022

Kontroversi Pasar Besar: Peniaga kecoh MDPP roboh pagar pasar lama

Secara Rawak

PASIR PUTEH: Kontroversi penutupan Pasar Besar Pasir Puteh memasuki fasa baharu apabila pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bertindak meroboh pagar pasar lama tersebut pagi Jumaat.

Bagaimanapun, usaha setengah jam itu terbantut sebentar apabila lebih 200 peniaga menghalang usaha tersebut.

Campur tangan polis kemudian membolehkan MDPP meneruskan usaha meroboh pagar pasar lama tersebut.

Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pihak polis dalam masa 30 minit sebelum kerja perobohan diteruskan MDPP.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh Mohd Badrul Yaacob sebagaimana dilaporkan Malaysia Dateline, usaha menghalang usaha pihak MDPP meroboh pagar oleh peniaga menyebabkan hampir berlaku pergaduhan.

Menurut beliau, kes rayuan ke atas isu tersebut di mahkamah rayuan masih belum selesai dan kes tersebut disebut 11 Disember ini.

Laporan menyebut, Badrul berharap pihak MDPP dapat menangguhkan usaha meroboh pasar lama ini sehingga kes selesai di mahkamah.

Badrul dilaporkan berkata, pihaknya kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang tidak dapat menunaikan janji menyediakan tempat lebih selesa kepada peniaga.

Beliau turut meminta agar MDPP menghormati mahkamah dan tidak melakukan kekerasan terhadap peniaga di situ.

Sebelum ini, viral isu saiz sempit dan kedudukan terpencil Pasar Siti Hajar yang dijadikan lokasi memindahkan peniaga dari Pasar Besar berkenaan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah mendakwa masalah reka bentuk pasar baru, Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh adalah angkara seorang pegawai di Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan seorang bekas ahli Majlis MDPP.

Menurut beliau, dua pegawai berkenaan yang tidak disebut nama mereka, kini menjadi “juara” Parti Amanah Negara (Amanah) Pasir Puteh yang beliau sebut sebagai PAN.

Laporan menyebut Nik Amar menyifatkan pegawai yang disebutnya sebagai “dua ekor makhluk” ini berunding dengan syarikat pemaju, mereka bentuk pasar baru tersebut pada era mantan menteri besar Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Nik  Amar menyeru mereka yang “ada masalah dengan pasar tersebut” perlu bertanya atau “mencari dua makhluk” tersebut dan tidak menyalahkan orang lain. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru