Tuesday, August 16, 2022

Situasi 800,00 pelarian Rohingya di Bangladesh mungkin “paling teruk” – UNHCR

Secara Rawak

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Lebih 800,000 pelarian Rohingya dari Myanmar kini mungkin berada dalam situasi “paling teruk”, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Pesuruhjaya Tinggi bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Filippo Grandi, kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Grandi membuat kenyataan itu mengenai pelarian Rohingya, ketika membandingkan keadaan mereka dengan kira-kira 65 hingga 66 juta orang yang tersingkir secara paksa di dunia.

“Kita bercakap tentang beberapa krisis yang paling kompleks di Afrika terutama Sudan Selatan, Republik Demokratik Congo,” katanya kepada pemberita di luar dewan majlis berkenaan.

“Terdapat banyak tumpuan terhadap situasi di Bangladesh — pelarian Rohingya yang datang dari Myanmar — dan perkembangan dalam krisis itu mungkin yang paling teruk pada ketika ini,” katanya.

Daripada 800,000 pelarian terbabit, para pegawai PBB berkata sebanyak 607,000 orang melarikan diri daripada keganasan di utara Negeri Rakhine sejak 25 Ogos apabila pemberontak Rohingya didakwa melancarkan serangan maut ke atas pondok keselamatan, yang mencetus tindak balas daripada tentera kerajaan dan penjaga awam.

Gambar fail – Rohingya

Kampung-Kampung telah dibakar dan penduduknya melarikan diri apabila berdepan dengan keganasan yang boleh membawa maut. Akses ke utara Negeri Rakhine — antara yang paling mundur di Myanmar — telah diperketat, meskipun seorang pegawai kanan PBB melakukan tinjauan dari udara di kawasan terbabit bulan lepas dan melaporkan telah melihat kampung-kampung hangus terbakar.

“Terdapat sokongan untuk peranan yang UNHCR boleh mainkan dalam memudahkan perbincangan mengenai penghantaran pulang yang selamata secara sukarela dan bermaruah jika dan apabila situasi di Negeri Rakhine dipulihkan bagi membolehkan perkara ini berlaku,” kata ketua Agensi Pelarian PBB itu.

“Kita bercakap tentang pertindihan agenda penting pihak kami … dan agenda Majlis Keselamatan.”

Beliau menjelaskan bahawa memandangkan palrian adalah isu kemanusiaan, ia dibincang dalam UNHCR sebagai “isu bukan politik,” sebaliknya yang bertindih dengan agenda keamanan dan keselamatan Majlis Keselamatan.

“Jadi, penyelesaian untuk masalah pelarian “pada dasarnya adalah politik. Masalah pelarian Rohingya ialah untuk “kembali ke kampung halaman dengan selamat dan secara bermaruah,” kata Grandi.

Sesi Majlis Keselamatan pada Khamis “adalah satu peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kesemua isu ini, iaitu isu polisi mahupun operasi.”

Pelarian Rohingya berdepan satu lagi masalah kerana mereka secara undang-undang tidak mempunyai negara.

Myanmar tidak mengiktiraf kebanyakan etnik yang beragama Islam itu sebagai warganegara, meskipun kebanyakan mereka telah tinggal selama berdekad-dekad di Myanmar, sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.

“Anda perlu menangani isu kewarganegaraan yang amat kompleks ini,” kata Grandi. Tanpa perkara itu, tiada penghantaran pulang yang lestari. Saya tidak tahu jika sebarang penghantaran pulang boleh berlaku jika isu ini tidak dirungkai.”

“Mereka ini — seperti yang sering kita lafazkan — bukan sekadar pelarian, mereka juga adalah pelarian yang tidak mempunyai negara. Jadi ini adalah satu isu yang rumit,” katanya. – Bernama

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru