Thursday, June 30, 2022

Isu Pasar Siti Hajar sempit: Nik Amar salahkan “dua ekor makhluk” dari PAN

Secara Rawak

PASIR PUTEH: Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah mendakwa masalah reka bentuk pasar baru, Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh adalah angkara seorang pegawai di Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) dan seorang bekas ahli Majlis MDPP.

Menurut beliau, dua pegawai berkenaan yang tidak disebut nama mereka, kini menjadi “juara” Parti Amanah Negara (Amanah) Pasir Puteh yang beliau sebut sebagai PAN.

Memetik Malaysia Dateline pada Khamis, Nik Amar menyifatkan pegawai yang disebutnya sebagai “dua ekor makhluk” ini berunding dengan syarikat pemaju, mereka bentuk pasar baru tersebut pada era mantan menteri besar Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Justeru,semasa berceramah di Pangkalan Chepa, Nik  Amar menyeru mereka yang “ada masalah dengan pasar tersebut” perlu bertanya atau “mencari dua makhluk” tersebut dan tidak menyalahkan orang lain.

“Kalau nak komplen ruang tak muat, banyak masalah pergi cari dua orang ini dan marahkan mereka,” ujar beliau memetik laporan tersebut.

MDPP menurut Nik Amar merupakan badan pelaksana bertindak melaksanakan hal yang sudah diputuskan.

Nik Amar turut menganggap terdapat “pengacau” yang cuba menghasut dan menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan negeri.

Sebelum ini, timbul kontroversi apabila majoriti peniaga Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke pasar baru sebelum 22 Oktober lepas.

Peniaga tidak berpuas hati dengan ruang niaga yang sempit, sementara sistem keselamatan dan longkang tidak sempurna dan lokasi pasar pula terpencil. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru