Monday, June 27, 2022

Lagi taktik kubur balak terbongkar, SFC gagalkan rompakan 496 kayu balak di Lawas

Secara Rawak

LAWAS: Taktik “kubur balak” kembali digunakan sebagai strategi pembalakan haram di daerah ini, namun ia tidak menghalang pasukan khas Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengesan operasi yang dilakukan.

Terkini pada 19 Oktober lalu, pasukan tersebut dengan kerjasama anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas, telah melakukan lima serbuan dalam usaha mengekang rompakan di siang hari, kata SFC dalam satu kenyataan hari ini.

Antara lokasi serbuan termasuklah sebuah kilang papan, dan empat lokasi pembalakan di Bukit Ugui, Tadahan Air Lawas dan Trusan.

“Tiga serbuan ini telah mendatangkan hasil dengan seorang suspek ditahan, dua traktor dirampas dan 496 buah kayu haram disita —  sebahagiannya ditemui di dalam kubur besar untuk mengelakkan pengesanan.

Kayu balak ini katanya, dipercayai telah ditebang secara haram di kedua-dua hutan simpan ini, serta kawasan pembalakan yang telah luput tempoh lesen.

SFC menjelaskan, operasi penguatkuasaan khas di Lawas telah diselaraskan oleh Pejabat Korporat SFC di Kuching dan risikan turut melibatkan penggunaan dron.

“Operasi itu sendiri adalah hasil beberapa aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai sejak beberapa minggu lalu.

Semua kes telah dilaporkan kepada IPD Lawas dan diserahkan kepada Jabatan Hutan untuk siasatan dan pelupusan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru