Pada 27 Oktober 2017, sekumpulan aktivis masyarakat yang pernah ditahan menggunakan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam Operasi Lalang pada 1987 menyambut ulang tahun ke-30. Mereka menuntut Tun Dr Mahathir Mahathir yang memikul tugas dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada ketika itu memohon maaf kerana menggunakan ISA terhadap mereka sehingga ada yang meringkuk di dalam tahanan tanpa perbicaraan selama 445 hari!

Keputusan Dr Mahathir menggunakan ISA untuk menahan seramai 106 orang aktivis masyarakat dan pemimpin politik pembangkang pada tahun 1987 merupakan antara titik hitam, selepas peristiwa 13 Mei 1969, dalam perjalanan panjang proses demokrasi dai Malaysia.

Period selepas merdeka sehingga sekarang, perjalanan proses demokrasi di negara ini boleh dikatakan berlangsung dengan agak baik. Parti-parti politik, akhbar, persatuan sekerja, pertubuhan pelajar dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibenarkan beroperasi.

Pilihan Raya Umum dilaksanakan secara berkala setiap empat atau lima tahun sekali. Tidak pernah sekalipun dalam sejarah elektoral di negara ini pembangkang membuat keputusan untuk memboikot atau tidak mengiktiraf keputusan selepas diumumkan.

Selepas era Operasi Lalang 1987 misal, terdapat begitu banyak parti politik ditubuhkan dan menawarkan diri dalam PRU untuk dipilih oleh pengundi. Parti yang besar dan bertanding pada peringkat nasional adalah seperti  Parti Melayu Semangat 46, PKR (1999), KITA, Amanah dan Bersatu. Sementara pada peringkat negeri pula ialah seperti  SPDP, UPP, SAPP, STAR, Warisan dan beberapa lagi.

Dari satu segi, perkembangan ini membuktikan bahwa pemimpin parti politik mempercayai sistem demokrasi dan kebebasan di negara ini. Sebab itulah mereka dengan mudah menubuhkan parti-parti tertentu, sesuai dengan cita rasa dan mengikut idaman kalbu masing-masing.

Selepas parti dan PRU, cuba kita lihat media massa. Media mengubah pola pemikiran dan cita rasa manusia terhadap pelbagai aspek. Kebelakangan ini sesuatu isu atau peristiwa boleh menjadi viral dengan sekelip mata dan berbilion-bilion manusia boleh melihatnya.

Ada pemimpin politik yang ‘dimatikan’ sebelum PRU apabila sering menjadi ‘troll or idiot’.  Sebab itu ada negara tidak membenarkan Facebook, aplikasi Whatsapp dan Instagram. Di Malaysia, untuk jangka masa yang agak panjang, kecuali pada tahun 1987, media cetak dan kemasukan media baharu yang hadir bersama internet tidak pernah disekat.

Hari ini semua orang boleh menganjurkan acara ‘live’ di atas talian dengan menggunakan Facebook, instagram dan tv internet. Maklumat boleh disebarkan dengan pantas.

Namun begitu, adakah ruang kebebasan media dan berorganisasi seperti penubuhan parti, digunakan untuk menyuburkan lagi demokrasi atau sebaliknya?

Dalam keghairahan bersaing untuk memenangi hati dan minda pengundi, semua parti dan pengamal media tidak sepatutnya melupakan tanggungjawab moral dan etika pembinaan bangsa yang berakhlak.

Janganlah kerana kemaruk mengejar kemenangan yang bersifat jangka pendek, kita dengan sedar dan sengaja menanam semangat kebencian terhadap etnik, agama dan individu tertentu.

Sebahagian besar pengundi di negara kita sudah semakin matang dan tidak lagi terlalu taasub kepada parti politik. Pemimpin yang hanya pandai membuat cacian, makian dan kata-kata yang berupaya menyemai kebencian sudah pasti akan ditolak.

Berilah kepada rakyat polisi yang boleh mereka nilai. Ruang demokrasi, kebebasan dan hak asasi  yang ada di negara kita selama ini akan menjadi semakin subur jika dipandu oleh nilai moral yang tinggi.

Berhentilah daripada mengamalkan politik menyemai kebencian. – Sarawakvoice