PYONGYANG: Sebuah terowong di lokasi ujian nuklear di Punggye-ri, Korea Utara runtuh menyebabkan sekitar 200 orang dilaporkan terkorban.

Menurut Business Insider pada Selasa, terowong tersebut roboh akibat ujian nuklear yang dilakukan rejim Kim Jong-un di bawah gunung pada 3 September lepas.

Pakar percaya ledakan tersebut berkaitan bom hidrogen yang 10 kali lebih kuat berbanding bom atom pertama yang digugurkan pada akhir Perang Dunia Kedua.

Ujian yang menyebabkan gempa itu membuat struktur tanah tidak stabil.

Badan pemantau gempa di beberapa negara mengesan getaran berkekuatan 6.3 pada Skala Richter menggoncang Punggye-ri.

Gambaran satelit menunjukkan tanah di sekitar tapak ujian rosak dan runtuh.

Pakar khuatir dengan kerosakan persekitaran tapak ujian, bahan radioaktif berbahaya dipercayai mudah tersebar dan merembes ke seluruh wilayah.

Sumber berita Korea Selatan Yonhap yang memetik laporan TV Asahi Jepun pada Selasa mengatakan, mulanya terowong runtuh tersebut menimbus 100 pekerja yang sedang membersih atau memperbaiki terowong.

Namun, runtuhan kedua yang lebih teruk menimpa 100 lagi ahli kumpulan yang cuba datang menyelamat.

Pada Isnin lepas, ketua agensi cuaca Korea Selatan dari Pentadbiran Meteorologi, Nam Jae-cheol, memaklumkan Parlimen bahawa satu lagi ujian nuklear berupaya mencetuskan runtuhan di tapak ujian yang terletak di pergunungan, serta berpotensi menyebabkan berlaku kebocoran bahan radioaktif. – Sarawakvoice

Gambar fail