Sunday, September 25, 2022

Polis, SFC bersembunyi lima jam untuk cekup lima individu curi 442 batang balak di Nanga Dap, Kanowit

Secara Rawak

SIBU: Bertindak daripada maklumat media sosial, yang turut disahkan oleh sumber polis, satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa Sarawak Forestry Corporation (SFC) Pejabat Wilayah Sibu dan polis Kanowit Ahad lalu di satu lokasi di Nanga Dap, Kanowit.

Ia berikutan aduan tentang aktiviti curi balak dan akhirnya, serbuan ini berjaya menyelamatkan sejumlah 442 balak yang dipercayai diambil secara haram.

“Polis turut menahan lima suspek dan merampas dua bot panjang,” kata SFC dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurutnya, pasukan serbuan pada mulanya hanya menemui 401 batang balak tanpa pengawasan yang telah dijadikan rakit, serta dilabuhkan di tebing Nanga Dap, untuk tujuan ditarik ke lokasi lain.

Bagaimanapun keputusan pasukan tersebut menunggu dan mengintai untuk lebih lima jam kemudian mendatangkan hasil apabila lima individu yang menggunakan dua bot tiba-tiba muncul untuk menjatuhkan 41 lagi batang balak lain, dan dijadikan sebagai rakit.

“Kesemua mereka kemudian ditangkap dan gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membuktikan pemilikan sah kayu balak tersebut.

Siasatan awal mendapati, kayu balak tersebut tidak mempunyai sebarang tanda rasmi dan oleh itu dipercayai ia telah diambil secara haram.

Laporan polis berhubung operasi itu telah dibuat di Balai Polis Kanowit dan kes telah diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk siasatan lanjut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru