KUCHING: Tragedi rumah panjang terbakar selalunya membawa kesan buruk, kerana lazimnya melibatkan lebih satu isi rumah.

Justeru itu, tidak hairanlah penduduk Bakun yang ditempatkan semula di Perkampungan Asap Koyan, Belaga — yang terdiri daripada 15 rumah panjang di sepanjang Sungai Asap dan Koyan — mengharapkan manfaat daripada program kesedaran dan pencegahan keselamatan kebakaran yang diadakan baru-baru ini.

Program ini dijayakan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon yang merasmikan program ini berkata, inisiatif ini berjaya mewujudkan kesedaran yang tinggi akan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan kebakaran dalam kalangan penduduk Apau Koyan di Belaga, terutama cara untuk mewujudkan persekitaran bebas bahaya kebakaran.

Diadakan di Uma Juman, ia merupakan salah satu daripada inisiatif penglibatan komuniti yang dilaksanakan di kawasan itu, susulan pengambilalihan Empangan Hidroelektrik ​​Bakun.

Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan Korporat SEB, Aisah Eden berkata, pihaknya gembira dan berpuas hati dengan kerjasama pihak bomba dalam menjayakan program ini.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan holistik dan bersepadu untuk menangani kesejahteraan komuniti Asap Koyan, dan sebahagian daripada komitmen untuk memastikan kami bekerja dengan masyarakat, serta meninggalkan legasi positif yang kekal.

Secara bersama, Ketua Rumah Panjang Maren Uma Padan Bisau, Maren Uma Nyaban Kulleh dan Maren Uma Huvat Laing daripada Uma Baha, Uma Badeng dan Uma Lesong menyatakan kepercayaan bahawa program intervensi ini adalah pendidikan yang penting, terutama dalam mencegah dan mengurangkan risiko kebakaran rumah panjang.

“Sebagai penghuni sebuah rumah panjang, kita adalah sebuah komuniti yang hidup bersama-sama di bawah satu bumbung.

“Taklimat dan demonstrasi praktikal ini sangat penting dalam memastikan keluarga dan komuniti kami selamat.

“Belajar daripada kejadian kebakaran yang lalu di Apau Koyan, penduduk turut menyedari betapa pentingnya untuk memberi perhatian kepada pelajaran yang dikongsi semasa program keselamatan ini dan mempraktikkannya, “kata Nyaban.

Penolong Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat SEB , Jiwari Abdullah,
dalam ucapannya semasa pelancaran program itu berkata, pihaknya mahu membina kesedaran keselamatan kebakaran untuk mengurangkan risiko kehilangan harta benda atau yang lebih buruk, nyawa.

“Adalah menjadi harapan kami bahawa program intervensi ini akan membantu memastikan masyarakat di sini sentiasa selamat.

“Di SEB, keselamatan adalah keutamaan kami untuk kakitangan kami, kontraktor kami dan komuniti yang kami berkhidmat.”

Selain demonstrasi keselamatan dan taklimat oleh pihak bomba, SEB juga menyumbangkan alat perlindungan kebakaran yang terdiri daripada 110 unit alat pemadam api dan kabinet, hos, muncung dan sendi untuk Peng Peng Maren-Maren Uma Sg Asap Koyan Belaga (Kepala Rumah Sg Asap Koyan Longsor Persatuan). – Sarawakvoice