Tuesday, January 25, 2022

Sekolah daif: Kerajaan Sarawak urus dana RM1b, lantik dan pantau kontraktor — Abang Jo

Secara Rawak

PADAWAN: Sarawak akan melaksanakan sendiri pembinaan sekolah-sekolah daif di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pelaksanaan sekolah-sekolah ini akan menggunakan model Lebuhraya Borneo Utara (LBU) dalam menjayakan Projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Maksudnya ia akan ditangani serentak di seluruh negeri dengan pembahagian bahagian utara, selatan dan tengah, serta dipantau rapi oleh Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Negeri serta Jabatan Kerja Raya.

“Peruntukan RM1 bilion itu pula akan diturunkan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk dana amanah sebelum dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa bersama yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri dan Pusat, namun kuasa pemutus adalah di tangan kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan Landeh di sini pagi tadi.

Sekolah baharu ini siap pada 16 November lalu menggantikan sekolah lama yang berusia lebih 66 tahun.

Sekolah dengan kos RM22.45 juta in dibangunkan di atas tanah seluas 2.23 hektar dan mampu memuatkan 540 pelajar pada satu-satu masa.

Sekolah luar bandar ini kini menempatkan 307 murid,19 guru dan empat kakitangan bukan guru.

Sarawak sebelum ini mengumumkan bahawa sejumlah 1,020 daripada keseluruhan 1,454 buah sekolah di negeri itu berada dalam kategori daif manakala 415 lagi berada dalam situasi kritikal, yang memerlukan pembinaan semula segera.

Ini termasuk lebih 200 sekolah kurang murid yang perlu digabungkan.

Menjelas lanjut, Abang Johari menegaskan, keputusan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek ini adalah untuk mengurangkan kerenah birokrasi selain mempermudah proses pemantauan projek-projek ini.

“Ada antara sekolah ini akan dibina menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan ada yang secara konvensional mengikut kesesuaian.

“Dan kita akan membuka peluang kepada kontraktor tempatan untuk menjayakannya,” katanya.

Dengan pengumuman bajet ini juga, tambahnya, Kerajaan Negeri tidak lagi perlu menggunakan dana Kerajaan Negeri sebanyak RM1 bilion until menjayakan projek ini seperti yang diumumkan sebelum ini.

Biarpun mengakui jumlah itu jauh daripada mencukupi iaitu sekitar RM4 bilion, Abang Johari mahu peruntukan tersebut dilaksanakan terlebih dahulu, dan bajet tambahan akan dipohon sebaik projek ini siap dalam tempoh 24 bulan.

“Ini bukan peruntukan yang menyebabkan kita terpaksa mengurangkan bajet lain. Tidak.

“Ia bajet khas kerana dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara, kita bertegas tidak mahu tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berulang, disebabkan premisnya yang tidak selamat,” tegasnya lagi.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Datuk Chong Sin Woon dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan, Datuk Sulaiman Wak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru