FAS optimis lesen untuk aksi Liga M diluluskan, Sarawak akan kekal beraksi — Posa

0
13

KUCHING: “Kami optimis! Insya-Allah, Sarawak kekal bersaing dalam Liga Malaysia,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.

Menurutnya, keputusan rayuan akan diketahui hari ini kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu mengganggu pasukan-pasukan yang beraksi pada perlawanan terakhir mereka pada Sabtu lalu, waktu panel rayuan bersidang.

“Kita telah memenuhi segala syarat dan dokumen yang diperlukan. Dan saya yakin, tidak akan timbul masalah lain.

“Perlu sedikit pertimbangan dan budi bicara atas komitmen kita ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sarawak sebelum ini berhadapan penyingkiran dalam Liga Malaysia apabila gagal dalam permohonan lesen pertandingan, yang diperkenal oleh Perkongsian Lialibiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk aksi musim depan.

Selain Sarawak, empat pasukan lain dalam Liga Super yang berhadapan masalah untuk mendapatkan lesen ialah Felda United, Kedah, Melaka United dan Kelantan.

Isu yang menyelaputi pasukan Sarawak sebelum ini adalah dokumen berkaitan Laporan Kewangan sejak tahun 2012 yang perlu disahkan audit, selain tunggakan pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso.

Bagaimanapun kesemua dokumen tersebut, termasuk Laporan Kewangan yang berkait FAS FMG Sdn Bhd telah pun dihantar kepada pihak FMLLP. – Sarawakvoice