Bajet 2018: Tidak pilih bulu

0
7

KUALA LUMPUR: Berikut merupakan kenyataan media Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar mengenai Bajet 2018.

Bajet 2018 Datuk Seri Najib Razak semalam dengan jelas menjunjung kehendak segenap lapisan rakyat baik Bumiputera, masyarakat Cina, India dan Orang Asli tanpa memilih bulu.

DS Najib selaku Perdana Menteri (PM) dan Menteri Kewangan sangat mengambil kira denyut hati rakyat dengan mengetepikan sentimen sama ada negeri itu di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) atau di bawah pemerintahan pembangkang.

Langkah ketara ialah pemansuhan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

Ini menunjukkan PM kita ikhlas, berani dan benar-benar berjiwa besar sekalipun dicerca oleh puak pembangkang termasuk penghinaan terhadap etniknya berketurunan Bugis, kononnya menggadai kedaulatan negara dan tuduhan sembrono mereka bahawa negara kita bankrap.

Sesungguhnya hanya jauhari yang mengenal manikam. Ini dibuktikan oleh PM kita dengan bajetnya yang begitu inklusif manfaatnya.

Memetik kata DS Najib sendiri dalam pembentangan bajetnya: “Bajet ini mencipta sejarah sebagai yang paling inklusif. Semuanya tidak lain dan tidak bukan disusun demi sejahterakan kehidupan rakyat, sekaligus memakmurkan negara.”

Maka marilah kita sahut seruan PM bahawa bajet ini adalah untuk kesejahteraan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan geografi demi kepentingan ekonomi negara pada keseluruhannya.

Bajet ini juga bajet cakna kerana ia mengisi keperluan rakyat bagi mengimbangi cabaran kos sara hidup.

Pelbagai bantuan yang disediakan dalam bajet ini boleh mengisi kekurangan akibat kenaikan kos sara hidup.

Bajet ini satu bajet komprehensif yang menyediakan pelan perancangan holistik sehingga generasi tahun 2050.

Ia menyediakan keperluan peruntukan untuk membina jati diri dan spiritual rakyat menghadapi cabaran pasca 2020 dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran, termasuk dana tabungan permulaan Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50).

Bajet ini sekali lagi menunjukkan semangat Malaysia Boleh yang sentiasa berkobar-kobar.

Dalam masa sembilan tahun sejak jadi PM dalam tahun 2009, DS Najib berjaya mewujudkan 60% daripada sasaran 3.3 juta peluang kerja baru, tambah rezab antarabangsa kepada RM428 bilion dan nilai eksport negara kpd RM80 bilion.

Ia suatu pencapaian cemerlang, dan pujian seafdalnya kepada PM kita perihal kebijaksanaan dan pandangan dekat serta jauhnya.

Peruntukan besar kepada TEKUN dan AIM menjadi satu lagi bukti betapa seriusnya PM mahu bangunkan rakyat yang mampu menguasai dunia keusahawanan dalam meningkatkan taraf hidup.

Peruntukan besar RM6 bilion membantu golongan petani, nelayan, pekebun kecil getah, kelapa dan pesawah menandakan sungguh-sungguh kerajaan sayang kepada pejuang akar umbi dalam bidang pertanian.

Kemampuan Malaysia menarik hampir tiga kali ganda ‘direct investment’ kepada RM211 bilion pelaburan pada 2016 berbanding RM81 bilion pada 2009 memperakui Malaysia masih menjadi tarikan pelabur antarabangsa, dan tiada pelabur yang lari seperti didakwa oleh pembangkang.

Tan Sri Annuar Musa

Ketua Penerangan UMNO