Tuesday, May 11, 2021

Mitos pertandingan tiga penjuru PRU14

Mesti baca

MENGAMBIL kira senario politik Malaysia kekal sebagaimana hari ini, maka Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang menyaksikan berlaku pertembungan tiga penjuru “terpenting” dalam sejarah politik negara.

Ahli Parlimen Kuantan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fuziah Salleh, menyifatkan jika sebelum ini Barisan Nasional (BN) yakin menang dengan pertembungan tiga penjuru — namun dalam situasi politik semasa, BN dikatakan berasa bimbang kerana situasi politik yang sudah berubah.

Mengikut analisis Fuziah sebagaimana disiarkan Malaysia Dateline pada Khamis, pertandingan tiga penjuru antara BN, Pas dan Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 bukan sahaja menewaskan BN, malah bakal merugikan Pas.

Fuziah melihat krisis kepimpinan Umno dan Pas 2015 memberi kesan besar kepada kekuatan dua parti politik itu sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini bergabung bersama PKR dan DAP membentuk Harapan.

Menurut beliau, perpecahan yang berlaku menyebabkan pengundi Umno pada 2013 beralih menyokong Harapan.

Dua Strategi Harapan Menang PRU14

Fuziah mendedahkan terdapat dua strategi mendapatkan sokongan agar rakyat mengundi Harapan.

Pertama, beri pengundi pilihan jelas, sama ada BN atau Harapan, jadi pengundi akan melupakan parti ketika iaitu Pas.

Kedua, dengan memberi dasar alternatif yang jelas kepada pengundi dengan menunjukkan kepada mereka apakah yang Harapan boleh lakukan sekiranya menjadi kerajaan yang diterjemahkan melalui bajet alternatif dan dasar lain.

Dengan cara ini katanya, Harapan dapat menunjukkan kemampuannya mentadbir kepada rakyat.

Fuziah turut menyatakan bahawa, dalam keadaan politik sekarang, pengundi lebih tertarik kepada dua gabungan terbesar dan melihat parti ketiga sebagai “spoiler”.

Pada masa yang sama, Pengarah Strategi Parti Amanah Dr Zulkefly Ahmad berpendapat, Harapan hanya perlu memenangi 90 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU 14.

Beliau turut yakin akan mendapat sokongan dari Sabah dan Sarawak.

Strategi Itu Hanya Indah di Atas Kertas

Melihat kepada dua strategi yang dikemukakan Fuziah adakah semudah “abc” atau “123”, pengundi akan memilih sama ada BN atau Harapan, ketika kelemahan sokongan Pas tidak pernah dibuktikan selepas parti tersebut keluar daripada Barisan Alternatif.

Sebagaimana diketahui, kemampuan akar umbi Pas tidak mudah tercabut kerana parti tersebut terbukti mempunyai ikatan secara tradisional dan konvensional peringkat bawahan di cawangannya di kampung dan desa.

Jelekitan Pas meskipun sudah ditarik sebahagiannya oleh Amanah, sukar dinafikan mempunyai kadar “ketaksuban” yang tinggi dan semestinya bakal dimanisfestasikan melalui undi.

Dalam hal ini, tidakkah Pas akan menghakis undi pembangkang sama ada di kawasan Melayu Pas-PKR atau Pas-Amanah?

Akhirnya, sukar membuat rumusan bahawa pengundi hanya melihat BN dan Harapan di atas kertas, kerana faktor Pas tetap relevan.

Pakar media di Barat sekalipun mengakui bahawa anak-anak biasanya mengundi mengikut pilihan ibu bapa mereka, jadi tidak mudah mengabaikan faktor Pas pada PRU14 sebagai pemecah undi kepada dua pakatan ini.

Strategik tidak jelas mudah ditulis di atas kertas, tetapi hakikatnya di lapangan berbeza.

Perlu dinilai semula, apakah mekanisme yang dimiliki oleh Harapan untuk merealisasikan strategi sebegini.

Pakar media juga percaya bahawa pengaruh media sangat kecil dalam menukar pendapat atau mempengaruhi pengundi?

Komunikasi muka ke muka, pengaruh “opinion leader” dalam masyarakat pengundi masih dianggap penting, justeru adakah Harapan mempunyai kekuatan seperti ini menempuh PRU14 yang hanya berbaki sekitar enam bulan lagi.

Jika diletak di atas kertas dengan menolak pengaruh media untuk membentuk persepsi pengundi, maka Harapan seperti sudah ketinggalan berdasarkan banyak faktor.

Jika dimasukkan faktor pengaruh media pula dalam membentuk pendirian “opinion leader” bagi mempengaruhi pengundi dalam teori “aliran maklumat dua pertingkat”, maka Harapan juga masih ketinggalan.

Ini belum mengambil kira perpecahan dalam Harapan itu sendiri yang akhirnya dapat membuat Harapan sendiri menjadi “spoiler”.

Harapan Seperti Tiada Harapan di S’wak, Sabah

Pendapat Zulkefly pula bahawa Harapan bakal mendapat 90 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia pada PRU14 dapat diperbincangkan.

Andaian ini lebih kepada benar ketika Pas berada dalam Barisan Alternatif, namun ketika Pas meninggalkan Harapan, pendapat ini perlu dinilai semula.

Ketika kita melihat Harapan mempunyai harapan, kita juga perlu mengandaikan BN atau Pas juga mempunyai peluang.

Sementara, dengan jentera ranting dan akar umbi yang kuat dalam gerak kerja BN di Sarawak, mampukah Harapan mendapat kerusi yang banyak di Sarawak dan Sabah?

Di Sarawak, ketika Barisan Alternatif memasang calon di kawasan Melayu sebagai contoh, perbalahan sesama sendiri ketika itu, Pas-PKR-Amanah sudah cukup tidak meyakinkan orang Melayu mengundi bukan BN.

Kini, selepas Pas membuat keputusan yang jelas, jangan ambil mudah sikap pengundi Melayu di Sarawak untuk menafikan BN, kerana wakil Melayu dalam BN sesungguhnya dilihat lebih relevan, lebih dekat dan lebih konsisten dalam perjuangan membela nasib orang Melayu.

Di kawasan Iban dan Cina, BN pula mempunyai siginfikan tersendiri dari segi sentimen kerana mereka turut mengundi ahli politik bangsa mereka sendiri dalam BN, sesuai dengan sentimen kaum yang dikemukakan dalam mana-mana parti politik di Malaysia.

Ini bukan mitos tetapi realiti.

Selagi teori bahawa “anak mengundi mengikut ayah atau ibunya mengundi” relevan, selagi itu ahli politik perlu bekerja keras mengambil hati pengundi melalui “jabat tangannya” sendiri dengan pendekatan relevan, tidak bergantung dengan peranan media semata-mata.

Ya, situasi ini berlaku, sekalipun di Barat atau mana-mana negara maju di dunia, apatah lagi di negara membangun. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru