MIRI: Seorang lelaki maut dipercayai diserang penyakit jantung ketika sedang memandu di sini pagi semalam.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10 pagi di Jalan Pelita 1 – Pelita Commercial Centre dekat sini.

“Pasukan telah menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.09 pagi dan setibanya pasukan di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Avanza yang melanggar sebuah lagi Toyota Avanza yang parkir di pinggir jalan.

“Terdapat seorang mangsa yang tidak sedarkan diri di dalam kenderaan Toyota Avanza yang melanggar tersebut.

Tindakan segera pihak bomba katanya, adalah mengeluarkan mangsa dan seterusnya menyerahkan kepada pihak paramedik untuk pemeriksaan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.” – Sarawakvoice