Saturday, June 25, 2022

Sarawak laksana Kajian Indeks Belia untuk kaji kecenderungan dan minat belia — Abdul Karim

Secara Rawak

BETONG: Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan akan mengadakan Kajian Indeks Belia Sarawak pada hujung tahun ini bagi mengkaji minat dan kecenderungan golongan belia masa kini.

Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kajian ini kelak akan membantu Kerajaan Negeri terutama jabatan dan agensinya dalam mewujudkan program dan aktiviti yang bersesuaian untuk masyarakat belia.

“Kita mahu program-program ini kelak ada pengisian dari segi pembangunan minda, kerohanian dan kesihatan fizikal,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Sambutan Hari Belia 2017 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini sebentar tadi.

Sambutan yang dihadiri 5,000 belia itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Turut hadir Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Parlimen Betong, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menjelas lanjut, kajian itu katanya akan mengukur tahap kualiti dan kesejahteraan belia Sarawak.

“Lebih penting ia akan meliputi 12 domain dan 58 indikator, yang melibatkan 14 ribu responden.

“Kita menjangkakan rumusan indeks ini akan diperoleh selewat-lewatnya penghujung tahun hadapan, dan ini akan membolehkan kementerian, jabatan dan agensi terlibat merancangkan aktiviti berteraskan  kajian indeks tersebut,” katanya lagi.

Pada majlis tersebut, Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menjayakan sambutan tersebut.

“Sarawak merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang  mengadakan sambutan Hari Belia peringkat negeri setiap tahun manakala sambutan peringkat kebangsaan dilangsungkan pada bulan Mei.

Dengan tema “Belia pencetus inspirasi pemacu inovasi”, sambutan kali ini turut melibatkan aktiviti seperti Konsert Belia, Belia Idol, Puteri Belia Millennia, Youth Strongman, Belia Kitchen dan sesi townhall. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru