Tuesday, January 25, 2022

Abang Johari umum dasar baharu belia Sarawak

Secara Rawak

BETONG: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi mengumumkan dasar baharu belia Sarawak yang berpaksikan kepada tiga keutamaan.

Katanya, dasar baharu belia Sarawak ini memberi tumpuan melahirkan belia yang cergas,  mengamalkan “budaya Sarawak”  dan pakar dalam pelbagai disiplin ilmu.

“Kita mahu belia yang cergas, kerana ia akan melahirkan belia yang sihat.

“Melalui keutamaan ini, belia-belia kita digalak untuk memberi tumpuan kepada pelbagai jenis sukan, dan jika boleh, berjaya hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya

sewaktu berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2017 di Dewan Sukan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan di sini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Adun Layar, Gerald Rentap Jabu.

Jelasnya lagi, sukan adalah bidang yang dekat di hati rakyat Sarawak kerana negeri ini telah melahirkan jaguh seperti Pandelela Rinong dalam bidang terjun akuatik yang  mencipta nama di peringkat Olimpik.

“Kita juga mempunyai atlet paralimpik yang mencipta nama di pentas antarabangsa,” tambahnya lagi.

Keutamaan kedua katanya, adalah untuk melahirkan belia masa depan yang mengamalkan “budaya Sarawak”.

“Budaya ala-Sarawak bermakna belia kita tidak disempadankan oleh kaum dan agama, sebaliknya sentiasa bersatu padu dan mengutamakan sikap saling menghormati dan memahami antara satu dan yang lain.

Abang Johari turut menggariskan kepentingan untuk melahirkan belia yang inovatif dan kreatif, selari dengan tumpuan Sarawak kepada Dasar Ekonomi Digital.

“Kita ada genius teknologi seperti adik Ahmad Zulfadzli Khamidi, 13 tahun yang berjaya mencipta aplikasi untuk membuat kerja rumah dan Ehon Chan, yang kini mengetuai Magic, sebuah agensi kreatif di bawah Kementerian Kewangan.

Dalam ucapan yang padat dengan sorakan belia, Abang Johari turut mengumumkan penubuhan hub inovasi di bandar Betong, yang ketiga selepas Kuching dan Sarikei.

Pada majlis tersebut Royston Valentine dari Mukah diumum penerima Anugerah Belia dan Sukan Negeri Sarawak 2017 kategori belia lelaki manakala Aziz Aznizan dari Miri memenangi kategori belia wanita.

Kelab Belia Petra Jaya pula diumumkan sebagai pemenang kategori kelab dan persatuan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru