KUCHING: Sebanyak 22 kes gigitan haiwan direkodkan semalam oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, dengan lapan kes dicatatkan di Bahagian Kuching, tiga kes di Bahagian Samarahan, lima kes di Bahagian Serian dan enam kes di Bahagian Sri Aman.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri, daripada jumlah ini, 20 kes merupakan gigitan haiwan peliharaan iaitu 12 kes gigitan anjing dan lapan kes gigitan kucing, manakala dua kes melibatkan gigitan anjing terbiar dan tidak bertuan.

“Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku bermula 1 April 2017 hingga ke hari ini adalah berjumlah 4,342 kes.

“Secara kumulatif juga, seramai 1,598 orang telah menerima suntikan vaksin  anti-Rabies, setelah dinilai  secara klinikal oleh pakar perubatan.

Sementara itu, berdasarkan maklumat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, keputusan sampel yang diterima berkait  virus Rabies masih kekal sebanyak 266 sampel, berbanding 270 sampel yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh.

“Sampel tersebut adalah 245 sampel anjing, 24 sampel kucing dan satu sampel kelawar.

“Daripada 266 keputusan kes, 53 atau 20 peratus yang terdiri daripada 47 sampel anjing dan enam sampel kucing telah disahkan positif virus Rabies.

Pada masa yang sama, secara kumulatif, sebanyak 40,527 ekor haiwan kesayangan yang terdiri daripada 32,578 ekor anjing, 7,904 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksinasi.

Kata jawatankuasa itu lagi, bagi pengawalan populasi anjing terbiar, operasi bersepadu bersama-sama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah berjaya menangkap sebanyak 2,040 ekor anjing dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Sarikei, Samarahan, Betong dan Serian.

“Sebanyak 491 kempen kesedaran telah diadakan di sekolah-sekolah, kampung dan tempat-tempat awam terutama kawasan yang dijangkiti wabak tersebut yang dihadiri oleh kira-kira 36,363 peserta.

Jawatankuasa turut mengingatkan bahawa menjadi  kewajipan untuk mengurung anjing dari kawasan wabak Rabies.

Mengikut Seksyen 37(2) & (3) Ordinan Kesihatan Awam 1999, adalah  menjadi kesalahan untuk membiarkan anjing lepas bebas dan membawa keluar anjing tanpa kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Veterinar  Negeri dari kawasan yang dijangkiti wabak Rabies.

Denda tidak melebihi  RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 bulan atau kedua-duanya akan dikenakan jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice