KUCHING: Satu majlis Dialog Wabak Rabies bersama pengusaha-pengusaha ladang di negeri ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di pejabatnya di tingkat 20, Wisma Bapa Malaysia semalam.

Ia bertujuan untuk memaklumkan kepada semua pengusaha ladang di kawasan terlibat akan perkembangan terkini dan bahaya wabak Rabies.

Kawasan yang terlibat dengan wabak Rabies adalah Bahagian Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, semua pengusaha ladang juga dikehendaki membenarkan pihak berkuasa untuk mengawal pergerakan dan mendaftar semua anjing peliharaan pekerja ladang masing-masing agar dapat diberikan vaksin sambil melarang pekerja ladang asing membawa anjing dari tempat asal mereka.

“Sekiranya ada melihat anjing liar yang meragukan dan mempunyai tanda-tanda Rabies, mereka juga diminta melaporkannya segera kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) ataupun Majlis Daerah dengan kadar segera.

“Diharapkan dengan adanya kerjasama yang diberikan oleh semua pengusaha ladang, penyebaran wabak Rabies dapat dibendung dengan berkesan,” katanya lagi.

Antara pemilik ladang yang hadir adalah dari Tabung Haji Plantations, SALCRA, FELCRA, Bousted Sdn Bhd dan Rimbunan Hijau. – Sarawakvoice