Pada 19 Oktober lalu, SPRM telah mengambil langkah berani. Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal telah ditahan reman bagi membantu siasatan kes seleweng dana pembangunan luar bandar Sabah sebanyak RM1.5 bilion yang dikatakan berlaku antara tahun 2009 hingga 2015, iaitu semasa memegang jawatan sebagai  Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Sehingga 24 Oktober 2017, SPRM telah menahan tiga adik beradik lelaki Shafie dan Timbalan Presiden Warisan, Peter Anthony. Beberapa hari lalu, Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) dan Setiausaha Akbar (SUA) Shafie turut ditahan bagi membantu siasatan, menjadikan semua yang ditahan sehingga kini sebanyak 13 orang.

Mengikut kenyataan yang diberikan, SPRM melakukan siasatan terhadap 72 projek daripada senarai asal 350 di bawah kementerian Pembangunan Luar Bandar. Projek tersebut dilaksanakan  di Kota Kinabalu, Kudat, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Keningau, Lahad Datu, Tawau dan Sandakan.

Jumlah dana yang disiasat, iaitu RM1.5 billion merupakan sebahagian daripada RM7.5 bilion peruntukan untuk membina jalan, bekalan air dan projek-projek infrastruktur luar bandar lain di negeri Sabah.

Antara 2009-2015, Kerajaan Persekutuan membelanjakan secara purata lebih daripada RM1 bilion setiap tahun untuk pembangunan luar bandar Sabah. Angka ini jelas menunjukkan bahawa Sabah tidak dijadikan sebagai anak tiri oleh kerajaan pusat, seperti didakwa sesetengah pihak.

Paparan ini bukan bertujuan untuk mengadili Shafie bersalah atau tidak. Soal siapa salah, kita serahkan kepada proses mahkamah untuk menentukannya. Apa yang perlu dilihat dalam kes ini ialah soal pengurusan kewangan dalam konteks kementerian di bawah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, khususnya di Sabah.

Pada peringkat Sabah, Laporan Ketua Audit Negara tahun 2016 menyatakan pengurusan kewangan di 31 jabatan dan agensi kerajaan negeri berada dalam rating ‘sangat bagus’ berdasarkan indeks akauntabiliti. Pengiktirafan ini meletakkan Sabah antara negeri yang mempraktiskan amalan akauntabiliti yang baik dan pengurusan kewangan yang cekap.

Laporan Ketua Audit Negara itu telah memberikan imej positif kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam pengurusan sumber kewangan secara teliti dan teratur. Bahkan, pihak Ketua Audit Negara mahu supaya Sabah dijadikan ‘suri teladan’ kepada negeri-negeri lain dari segi pengurusan kewangan.

Memandangkan Kerajaan Negeri mempunyai rekod baik dalam pengurusan kewangan, Kerajaan Persekutuan perlu bekerjasama erat dengan menyelaras peruntukan pembangunan bersama dengan Kerajaan Negeri.

Sistem berkerajaan yang kita amalkan selama ini memberi kuasa yang banyak kepada para menteri. Apabila melibatkan hal-hal di bawah kementerian, seseorang menteri biasanya mempunyai autonomi yang cukup kuat sehingga Perdana Menteri sendiri tidak boleh campur tangan, apatah lagi seorang Ketua Menteri.

Pada bulan Oktober 2016, SPRM telah menahan dan mendakwa dua pegawai kanan Jabatan Air Sabah dengan 34 kes penggubalan wang haram dan sebanyak RM114 juta aset, RM53.7 juta wang tunai. Aset dan wang tersebut dikatakan adalah sebahagian daripada RM7.5 bilion peruntukan dana pembangunan luar bandar Sabah yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar an Wilayah.

Setahun kemudiannya, rakyat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan kes seleweng dana pembangunan luar bandar di Sabah yang dikatakan sebanyak RM1.5 bilion.

Untuk mengelakkan kejadian yang berlaku di Sabah berulang pada masa hadapan, amalan memberi kuasa begitu banyak kepada seseorang menteri perlu dikaji semula. Apabila melibatkan negeri, Ketua Menteri atau Menteri Besar dan jentera kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab bersama dan tidak hanya diserahkan kepada pihak kementerian semata-mata.

Saya fikir seluruh rakyat Malaysia yang menyanjung nilai ketelusan berasa bangga dengan tindakan SPRM yang tidak menutup mata terhadap penyelewengan yang berlaku.

Adalah menjadi harapan rakyat secara umumnya agar petualang yang menyeleweng dana pembangunan luar bandar tidak hanya disiasat.

Mereka perlu dibawa ke muka pengadilan. – Sarawakvoice