Thursday, August 18, 2022

Pas : Bebaskan Malaysia daripada bahang panas  judi, perangi petualangnya

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Pas menyeru agar seluruh rakyat tanpa mengira apa-apa agama dan bangsa supaya bangkit dengan penuh sedar dan insaf untuk memerangi judi dan petualangnya hingga ke akar umbi.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, rakyat tidak harus membiarkan tamadun negara dibinasakan angkara judi dan pengusahanya yang mengaut keuntungan atas penderitaan dan kesengsaraan mereka yang terjebak dalam kancah perjudian.

“Judi adalah musuh negara. Tiada agama yang membenarkan judi. Justeru itu, pihak pemerintah mestilah serius membanteras judi. Pihak penguatkuasa juga mesti bertegas dan meningkatkan penguatkuasaan untuk menamatkan pengaruh industri judi yang semakin membarah dalam negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, usaha  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memerangi judi amat dibanggakan.

“Pas bersama PPIM. Insya-Allah PPIM tidak bersendirian. Lantaran Pas juga senantiasa konsisten dalam memerangi teras kemungkaran dalam negara ini,” ujarnya.

Nasrudin berkata, Malaysia mesti bebas daripada bahang panas judi yang merosakkan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Judi inilah yang melahirkan permusuhan dan persengketaan sesama manusia. Akhirnya mengundang ancaman kepada pihak yang tidak bersalah seperti anak isteri dan masyarakat sekitar,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru