Thursday, September 29, 2022

Semak nama 292,002 pemilih baharu, dan pertukaran kawasan mengundi sekarang — SPR

Secara Rawak

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan semalam memaklumkan pihaknya menerima sejumlah 292,002 permohonan pendaftaran sebagai pemilih di seluruh negara untuk urusan pendaftaran pemilih suku tahun 3/2017.

Setiausahanya, Datuk Abdul Ghani Salleh menjelaskan, permohonan yang diterima adalah 229,919 permohonan pemilih baharu dan 65,083 pernohonan pertukaran alamat bahagian pilihan raya dalam kalangan pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.

“Selaras dengan kehendak Peraturan 13, Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun 2/2017, senarai ini akan dipamerkan selama 14 hari bermula 24 Oktober (hari ini) hingga 6 November 2017 di 960 tempat pameran di seluruh negara,” katanya.

Pemohon yang telah memohon sebagai pemilih baharu atau menukar alamat dalam bahagian pilihan raya sekitar bulan Julai hingga September katanya, dinasihatkan menyemak Rang DPT Suku tahun 3/2017.

“Bagi permohonan baharu yang tidak tersenarai, pemohon boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B dan menyerahkannya kepada Pendaftar iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri pada waktu pejabat mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh tersebut.

Abdul Ghani berkata, jika terdapat mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian yang hendak membuat bantahan terhadap kemasukan nama mana-mana orang dalam DPT Suku Tahun 3/2017, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Bagaimanapun seorang pembantah tidak boleh membantah lebih daripada 20 orang selaras dengan Peraturan 15(3) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Jelasnya lagi, semasa tempoh pameran juga, SPR akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada Daftar Pemilih.

“Asas pengeluaran ini adalah kerana mereka didapati hilang hak kelayakan untuk kekal dalam daftar pemilih kerana telah meninggal dunia, melepaskan atau dilucut kewarganegaraan.

“Sehubungan itu, kita menyeru semua pemohon yang telah mendaftar dalam tempoh tarikh 1 Julai hingga 30 September 2017 agar membuat semakan maklumat pendaftaran pemilih di tempat-tempat yang dinyatakan,” tambahnya lagi.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran ini boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88927018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari laman sesawang SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar My SPR Semak. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru