Menilik nasib Shafie dan Warisan dalam PRU-14 nanti

0
4

Tempoh tahanan reman untuk Datuk Seri Shafie Apdal dilanjutkan selama empat hari lagi.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum ini tahu bahawa beliau akhirnya akan dijaring Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sebelum beliau ditangkap, timbalan presiden Warisan, Datuk Peter Anthony, ahli perniagaan yang ada hubungan dengan beliau, dan adik-adiknya telah pun masuk ke dalam jaring SPRM.

Shafie, mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah itu sentiasa dikelilingi ramai orang ketika menjadi menteri, malah selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jumaat lalu, beliau terpaksa meraikan ulang tahun ke-60-nya di mahkamah.

Tentu tidak pernah terlintas di fikirannya perkara sedemikian berlaku.

Shafie mengalami tekanan darah tinggi, dan dihantar ke hospital.

Beliau tinggal di hospital untuk satu malam, dan dibawa ke mahkamah keesokan paginya dengan ambulans.

Warisan  turut meraikan ulang tahun pertamanya.

Kini, dengan nasib yang menimpa presiden dan timbalannya, bagaimanakah agaknya masa depan Warisan?

Tidak dinafikan, parti berkenaan telah mengorak langkah pasti, dan punya pengaruh yang agak kuat di kawasan tertentu.

Tidak dinafikan Shafie, nama besar dalam politik Sabah. Ketika dalam Umno dan BN, beliau punya aura tertentu.

Gaya ucapannya mudah memikat khalayak, lebih-lebih lagi selepas berada di pihak pembangkang, dan mengkritik BN.

Apa yang berlaku terhadap Shafie mencetuskan dua tanggapan.

Yang sinis, menyoal: Mengapa sekarang?

Mengapa tidak sebelumnya, ketika Shafie dalam BN?

Apatah lagi, isu yang didakwa sebagai penyelewengan dana awam itu adalah bagi tempoh 2009 hingga 2015.

Lagipun, sebelum ini SPRM berkata, tidak akan ambil tindakan terhadap pemimpin politik sebelum PRU berlangsung untuk mengelak daripada disalah tanggap oleh rakyat.

Justeru ahli dan pemimpin Warisan mendakwa tindakan SPRM itu bermotif politik, malah mereka pergi lebih jauh lagi, tindakan diambil terhadap Shafie, atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bagi rakyat yang objektif dan tidak menyokong mana-mana pihak, mereka setuju SPRM ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang rasuah dan salah guna kuasa, tanpa mengira siapa pun mereka lebih-lebih lagi kes yang membabitkan jumlah wang yang besar.

Sama ada tindakan SPRM itu membawa keuntungan kepada Warisan, bergantung kepada bagaimana parti terbabit mengesploitasikannya dalam kempen mereka menjelang PRU-14 nanti.

Jika mereka bijak menggunakannya, dengan menegaskan Shafie dan adik-beradik serta rakan-rakannya dalam parti menjadi mangsa politik, maka mungkin sahaja ia membawa sedikit kesan.

Namun, perlu diakui bahawa apa yang berlaku terhadap Warisan, pasti mencalar imej dan reputasinya – dan seterusnya, sedikit banyak menjejaskan undi yang bakal diraihnya dalam PRU nanti. – Sarawakvoice