Saturday, June 25, 2022

Abang Jo tidak mahu lagi pelajar Sarawak dibelenggu isu pakaian seragam, mahu bantuan diperluas

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg petang tadi memberi jaminan bahawa isu kekurangan kelengkapan pembelajaran tidak akan menjadi isu di Sarawak di bawah era pentadbirannya.

Katanya, dia mahu masalah kekurangan pakaian seragam, buku dan sebagainya ditangani segera, dan setiap pelajar di negeri ini dapat menikmati pembelajaran dalam suasana yang kondusif.

“Misalnya, jika dahulu kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM2 juta untuk bantuan pakaian seragam kepada pelajar-pelajar yang tidak berkemampuan, pada tahun ini, jumlah itu ditingkatkan kepada RM4 juta,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Yayasan Sarawak, di Dewan Datu Merpati, SK Merpati Jepang dekat sini petang semalam.

Seramai 125 murid sekolah rendah dan 35 pelajar menengah daripada Parlimen Petra Jaya menerima sumbangan baucer pakaian seragam yang bernilai RM200 serta sumbangan tunai daripada Yayasan Sarawak pada majlis itu.

Baucer tersebut boleh digunakan untuk membeli sebanyak tiga pasang pakaian sekolah rendah dan dua pasang pakaian sekolah menengah.

Menjelas lanjut, Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak memberitahu, bantuan lain adalah dalam bentuk biasiswa tempatan sebanyak RM300 untuk pelajar sekolah menengah rendah dan RM500 kepada pelajar menengah atas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Satok itu turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang berunding dengan Lembaga Pengurusan SKJC Chung Hua No 4 di Jalan Haji Taha di sini bagi mendapatkan tapak baharu bagi menggantikan sekolah sedia ada sekarang yang semakin sempit.

“Kita berharap perbincangan seterusnya akan dapat mencari jalan penyelesaian bagaimana kita dapat membantu sekolah ini.

“Mungkin kita mencari tapak baharu yang lebih sesuai dan tapak lama diambil alih oleh kerajaan,” katanya lagi.

Hasil bayaran premium balak kepada Kerajaan Negeri Sarawak, pendapatan Yayasan Sarawak untuk segmen pendidikan telah melonjak daripada RM9 juta kepada RM300 juta bermula tahun ini. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru