Saturday, June 25, 2022

Abang Jo: Tanpa kuasai bahasa Inggeris, hanya jaguh kampung

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa beliau akan terus memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Sarawak.

Tegasnya, beliau akan meneruskan dasar yang dipelopori oleh Allahyarham Tok Nan atau Tan Sri Adenan Satem untuk memastikan rakyat Sarawak sentiasa mahir dalam bahasa ini.

“Kita sedar bahawa kita perlu lebih patriotik dan melindungi status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi selain sentiasa memberikan sokongan ke arah perkembangannya, namun pada masa yang sama, kita perlu lebih pragmatik dan mengakui bahawa untuk berjaya di peringkat antarabangsa, kita juga mesti menguasai bahasa perniagaan dan teknologi global sekarang,” tegasnya ketika merasmikan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak di Hotel Pullman di sini pagi semalam.

Simposim bertemakan “Menghubungkan titik: Kurikulum, Bilik Darjah dan Komuniti” itu dihadiri oleh lebih seribu peserta, terdiri daripada tokoh akademik, pengamal bahasa, pensyarah dan guru.

Dalam ucapannya, Abang Johari memetik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menegaskan menguasai Bahasa Inggeris sebagai sesuatu tidak dapat dielakkan.

“Suka atau tidak, Bahasa Inggeris adalah prasyarat di dunia hari ini, dan tanpa bahasa Inggeris, rakyat Malaysia hanya ‘jaguh kampung’ dan kurang kemampuan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Oleh itu tambahnya lagi, Kerajaan Negeri komited untuk menaik taraf bahasa Inggeris di Sarawak, memandangkan usaha mempromosikan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tidak memadai.

“Usaha harus dilakukan untuk meningkatkan kesedaran penduduk yang bekerja, dengan mendorong mereka untuk meningkatkan penguasaan bahasa ini biarpun setelah mereka meninggalkan bangku persekolahan.

Abang Johari berkata, biarpun banyak inisiatif yang diperkenal Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan tahap kecekapan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di sekolah, namun secara umumnya usaha itu masih kurang berjaya.

“Salah satu sebabnya ialah Jabatan Pelajaran Sarawak berhadapan peruntukan yang tidak mencukupi untuk menjayakan program pemerkasaan bahasa ini berikutan kedudukan geografi sekolah-sekolah yang jauh dan terpencil.

“Justeru itu, Kerajaan Negeri akan campur tangan, dengan menyokong jabatan tersebut terutama dalam menjayakan bidang kritikal seperti mengadakan latihan agar guru-guru yang ada bukan sahaja menjadi lebih mahir dalam berbahasa Inggeris tetapi juga menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Intervensi juga dilakukan katanya, dengan menyediakan sumber pengajaran dan pembelajaran yang boleh menyokong aktiviti kokurikulum yang menggalakkan para pelajar menggunakan bahasa Inggeris seperti perdebatan, drama dan pertandingan menulis esei. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru