Penunggang motosikal maut dilanggar kereta di Jalan Matang, pemandu ghaib ketika polis tiba

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar oleh sebuah kereta di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa, Batu 7, Jalan Matang di sini malam tadi.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 malam.

“Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Legenda dikatakan sedang menuju ke arah Matang dari pusat bandar Kuching sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang datang dari arah bertentangan.

Kata Bingkok, akibat pertembungan tersebut, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.

“Pemeriksaan awal mendapati kecederaan pada mangsa tidak kelihatan namun dipercayai mengalami kecederaan organ dalaman.

“Polis sedang mendapatkan waris mangsa, selain mengesan pemandu kenderaan kereta terbabit, yang tidak ada di lokasi kejadian ketika polis tiba.

Suspek juga katanya, gagal memaklumkan polis berhubung kemalangan tersebut.

Identiti mangsa yang maut kemudian dikenal pasti sebagai Kim Nam Nyoun, 27 tahun, dengan alamat terakhirnya di Perumahan Polis Tabuan Jaya

“Punca nahas sedang disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Terbaru