KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sebentar tadi mengumumkan satu lagi kawasan jangkitan Rabies di negeri ini, menjadikan keseluruhan sebanyak 26 lokasi.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu kenyataan berkata, lokasi mutakhir itu terletak di Kampung Sampun Gerunggang, Asajaya, seterusnya menjadi lokasi pertama di Bahagian Samarahan turut dijangkiti.

“Memandangkan kampung ini berada di luar radius 10 kilometer kawasan yang telah diisytihar sebelum ini, fokus akan diberikan kepada kawasan-kawasan berhampiran,” kata

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah itu lagi.

Setakat ini, sebanyak 265 daripada 266 keputusan sampel telah diterima dari Institut Penyelidikan Veterinar, Ipoh dan ia terdiri daripada 243 sampel anjing, 21 sampel kucing dan satu sampel kelawar.

“Daripada 265 keputusan kes, 53 atau 20 peratus sampel yang terdiri 47 sampel anjing dan 6 sampel kucing disahkan positif virus Rabies.

“Empat daripada lima keputusan sampel anjing pula dilaporkan positif virus Rabies melalui Ujian Direct Fluorescent Antibody.

Kes-kes positif terkini yang direkodkan adalah dari kawasan Kampung Sampun Gerunggang, Asajaya; Pasar Lama Batu Kawa; Institut Memandu Cangiran Sdn. Bhd, Matang dan  Taman Malihah, Matang.

Manakala kes negatif adalah sampel anjing liar daripada Majlis Daerah Dalat, Mukah.

Memetik kenyataan jawatankuasa tersebut,  jumlah keseluruhan kawasan yang telah diisytiharkan Wabak Rabies adalah 26, dengan pecahan kawasan di empat Bahagian iaitu Serian (20), Sri Aman (1) dan Kuching (4) dan Samarahan (1). – Sarawakvoice

Berikut adalah senarai kampung terlibat:

Bahagian Serian

Kampung Krait
Kampung Paon Rimu
Kampung Paon Rimu Bakung
Kampung Remun
Kampung Lebor
Kampung Saroban
Kampung Tangga
Kampung Ampungan
Kampung Mentong Berawan
Kampung Mentong Silaga
Kampung Engkabang
Kampung Tampek Sumpas
Kampung Rasau
Pekan Siburan
Bandar Serian
Batu 45, Kuching-Sri Aman
Kampung Temong Mura, Tebedu
Kampung Entubuh, Tebedu
Kampung Kuala, Serian
Kampung Telagus Legai

Bahagian Sri Aman
Rumah Janta Punggu Mawang

Bahagian Kuching
Batu 5, Jalan Semeba
Pasar Basah Sungai Maong
Kampung Serikin, Bau
Taman Alamanda Indah, Matang

Bahagian Samarahan
Kampung Sampun Gerunggang, Asajaya