MUKAH: Seorang lelaki warga emas maut selepas melecur pada muka dan perut dalam kejadian kebakaran di Stor Penyimpanan Silinder LPG dan petrol di Jalan SK Pengkalan Lobang, dekat sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 2.16 petang tadi dan sebuah jentera LFRT dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux diaturgerakkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dengan kekuatan lapan anggota.

Setibanya di lokasi katanya, pasukan mendapati kebakaran melibatkan stor penyimpanan di luar rumah dengan struktur bangunan jenis sementara.

Stor tersebut jelasnya, merupakan tempat penyimpanan produk minyak jenis petrol dan diesel serta silinder LPG.

“Ketika itu, mangsa, seorang warga yang kemudian dikenal pasti sebagai Sim Tan Bee, 61 tahun, sedang melakukan aktiviti memindahkan minyak dari tong besar ke botol kecil, secara tiba-tiba berlaku cetusan kebakaran dan terus menyambar tangan mangsa.

“Api juga merebak di tempat ruang penyimpanan minyak diesel serta silinder LPG, yang jaraknya dari rumah kediaman dan stor penyimpanan adalah 10 kaki.

Kebakaran itu kata Ling Hii, menyebabkan stor tersebut musnah seratus-peratus manakala mangsa melecur pada bahagian perut serta muka.

“Pasukan kemudian membuat pemadaman sisa bara api dan melaksanakan penyejukan
pada silinder LPG tersebut sehingga selesai.

“Siasatan awal mendapati terdapat sebanyak 32 unit silinder LPG di dalam setor tersebut.

Mangsa katanya lagi, telah dihantar awal ke hospital oleh saudara mara, namun menemui ajal ketika dalam rawatan.

Punca kes masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran, katanya lagi. – Sarawakvoice