Wednesday, August 17, 2022

SPRM perlu dedah semua kes seleweng  dana awam di Sabah

Secara Rawak

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu membuka siasatan dan mendedahkan semua kes penyelewengan yang melibatkan penyaluran dana awam di Sabah, gesa Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Sabah.

Menurut Zulzaim Hilmee Abidin,  fokus siasatan tidak harus hanya tertumpu kepada satu kes sahaja sepertimana dakwaan ke atas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang membabitkan RM1.5 billion.

“SPRM perlu sentiasa dilihat mempunyai kredibiliti yang adil kepada semua pihak dalam membanteras penyelewengan tanpa mengira status atau kepentingan pihak berkaitan. Tidak kira sama ada yang terlibat itu adalah dari dalam kalangan parti pemerintah atau pembangkang, mahupun kalangan bekerja di sektor kerajaan atau persendirian,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas Sabah, Zulzaim Hilmee Abidin

Ujarnya, tidak dinafikan, ketirisan juga adalah antara faktor yang menyebabkan projek-projek pembangunan prasarana rakyat di negeri ini selalu tergendala dan gagal dilaksanakan.

“Perkara seperti ini telah pun kerap kali didedahkan melalui Laporan Tahunan Audit Negara. Namun, penyiasatan ke atasnya kabur dan rakyatlah pihak yang menanggung kerugian atas semua itu,” katanya lagi.

“Walau apa jua situasi, kami menjunjung prinsip keadilan Islam bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga ia dibuktikan bersalah. Prinsip dan syariat Islam ini sebenarnya terpakai kepada semua orang Islam, sama ada ketika berhadapan dengan orang Islam sendiri mahupun orang bukan Islam. Inilah keadilan yang harus didokong,” jelas Zulzaim.

“Prinsip inilah yang dipegang PAS dalam berpolitik. Justeru, kami berkeyakinan bahawa pihak SPRM akan terus menjulang integriti dalam memerangi jenayah kolar putih yang semakin meruncing di negeri ini. Kami percaya, keteguhan dalam melaksanakan penguatkuasaan yang adil menjadi sebahagian usaha menegakkan pemerintahan yang saksama,” katanya.

Bekas  Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

Dengan penahanan  Shafie yang juga presiden  Parti Warisan Sabah, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu dana di Sabah kini berjumlah 11 orang. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru