Friday, October 22, 2021

Perahu karam di Batang Ai: Dua warga emas terus hilang, hanya beg, kerusi dan pendayung dijumpai

Mesti baca

LUBOK ANTU: Sekitar jam 6.30 petang tadi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa perahu karam di Empangan Hidro Elektrik Batang Ai terpaksa ditangguhkan apabila pasukan penyelamat tidak menemui sebarang petunjuk baharu dan hari bertukar gelap.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, zon pencarian pada hari ini meliputi radius 10 kilometer dari lokasi perahu karam.

“Jika semalam pasukan SAR menemui barangan milik mangsa seperti kerusi bot dan beg kepunyaan mangsa Yustinus Tukiman, sekitar jam 3 petang tadi, pasukan SAR menjumpai pula pendayung milik mangsa.

“Operasi akan disambung semula esok,” katanya lagi.

Identiti mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai Yustinus Tukiman, 59 tahun dan Sudigdo, 58 tahun, kedua-duanya warga Indonesia.

Dalam kejadian pada lewat petang Jumaat lalu, perahu yang dinaiki kedua-dua mangsa dan tiga yang lain terbalik sebelum karam setelah dilanggar angin kencang.

Dua warga emas terbabit terus tenggelam tatkala tiga yang lain berjaya berenang, menyelamatkan diri. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru