KUCHING: Tindakan cekap dan pantas orang awam berjaya menyelamatkan nyawa seorang wanita, apabila kereta yang dipandunya terbakar setelah terbabas sebelum terlanggar tiang lampu di Jalan Kulas, awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 3.11 pagi.

“Sebuah jentera FRT, sebuah ambulans EMRS, dan dua unit RIM dengan kekuatan 11 anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba Kuching sebelum tiba 10 minit kemudian.

“Setibanya di lokasi, pasukan melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza, yang terbakar pada enjin kenderaannya.

“Pasukan bomba kemudian pantas melaksanakan kerja-kerja pemadaman bagi mengelakkan kejadian yang tidal diingini.

Mangsa yang juga pemandu kenderaan katanya, yang sebelum itu berjaya dikeluarkan oleh orang awam yang kebetulan berada di lokasi tersebut, mengalami cedera parah, sebelum diberi rawatan awal oleh pasukan paramedik.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Ellydia Belitang, 21 tahun. – Sarawakvoice